Grab Malaysia dan Keretapi Tanah Melayu (KTBM) telah menandatangi memorandum persefahaman untuk menyediakan perkhidmatan perantara yang lebih mesra pengguna kepada pelanggan yang menggunakan rangakaian perkhidmatan keretapi utama di negara ini.

Memetik laporan The Sun, ketua operasi Grab Malaysia, Sean Goh berkata kerjasama itu adalah berkaitan menyediakan perkhidmatan perhubungan dari stesen komuter/keretapi ke lokasi berdekatan dan sebaliknya kepada pelanggan KTMB.

Menurut CEO KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, kerjasama dengan Grab yang telah dimulakan sejak setahun yang lalu menawarkan pilihan pengangkutan yang lebih mudah kepada pelanggannya. “Selain daripada mewujudkan kerjasama dan rangkaian perkhidmatan dengan pihak berkuasa tempatan serta pengusaha bas dan teksi, Grab memberikan satu lagi pilihan tambahan yang menarik dan memudahkan pengguna,” ujar beliau.

Ia juga akan menyaksikan penawaran diskaun pada kadar tambang yang dikenakan oleh Grab bagi perjalanan dari stesen KTM Kuala Lumpur bagi acara KTMB Skypark Link Run yang akan berlangsung 15 April nanti. Acara berkenaan adalah sempena pembukaan stesen baru KTM yang dikenali sebagai Terminal Skypark, serta perkhidmatan tren baru, Skypark Link.

Operasi perkhidmatan baru KTM ini dijangka bermula pada Mei 2018, dan merupakan perkhidmatan tren yang akan menghubungkan pengguna ke destinasi Subang Skypark Terminal.