Belum lagi reda sepenuhnya kes skandal penipuan ujian pencemaran udara Dieselgate oleh Volkswagen Group, kini muncul pula satu lagi kes yang seakan sama, juga dari pengeluar automotif dari Jerman. Pihak berkuasa negara berkenaan telah menyerbu Ibu pejabat BMW di Munich serta kilang enjinnya di Austria sebagai salah satu tindakan siasatan keatas dakwaan bahawa jenama tersebut menggunakan perisian untuk menipu dalam ujian emisi.

Menurut pihak berkuasa tersebut, sejumlah 11,400 BMW 750d dan BMW M550d terbabit dalam isu ini. “Terdapat kecurigaan awal bahawa BMW telah menggunakan peranti pengubah yang berkaitan dengan alat ujian,” kata pendakwa raya dalam laporan BBC. Perkara ini disyaki setelah hasil bacaan CO2 yang dinyatakan dalam ujian baharu Worldwide Harmonised Light Vehicles Test Procedure (WLTP) model-model berkenaan jauh berbeza dari ujian Kitaran Pemanduan Eropah Baharu (NEDC) yang digunakan sebelumnya.

Kenyataan rasmi BMW menyatakan mereka mengambil serius situasi ini dan akan berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa terlibat. “Kumpulan BMW akan terus menganggap situasi ini adalah disebabkan kegagalan pada perisian dan tidak mewakili percubaan yang disengajakan untuk memanipulasi emisi ekzos,” kata kenyataan tersebut.

BMW telah pun memanggil semula 11,700 kenderaan untuk membuat pertukaran perisian, tetapi Pihak Berkuasa Persekutuan Pengangkutan Bermotor Jerman (KBA) mengatakan perisian pada kenderaan yang terlibat tersebut tidak dikira sebagai peranti pengubah.

“Kebanyakkan kenderaan yang terjejas pada mulanya telah dijual dengan perisian yang betul dan beroperasi dengan betul selama dua tahun. Perisian yang tidak betul telah digunakan dalam waktu yang signifikant selepas model-model tersebut diproduksi,” jelas BMW.