Lanjutan dari kes kemalangan maut yang membabitkan Volvo XC90 pemanduan sendiri milik Uber di Tempe, Arizona, Amerika Syarikat tempoh hari, pihak polis tempatan mengesahkan siasatan awal menunjukkan kereta berkenaan tidak bersalah dalam insiden tersebut.

“Pemandu [sandaran] berkata ia seperti kilat, mangsa melintas jalan di hadapan mereka. Amaran pertama yang keluar untuk kemalangan tersebut ialah bunyi kemalangan itu sendiri,” kata Sylvia Moir, ketua polis Tempe dalam laporan San Francisco Chronicle. Ketika kemalangan itu berlaku, SUV tersebut bergerak dengan kelajuan 61 km/j (38 bsj) dalam kawasan 56 km/j (35 bsj).

Menurut polis lagi, tiada percubaan untuk memperlahankan kenderaan oleh sistem pemanduan sendiri tersebut dan pemandu sandaran sebelum melanggar mangsa, Elaine Herzberg yang berumur 49-tahun. Berdasarkan bukti yang diambil dari video on-board kereta berkenaan, Moir berkata, “ia sangat jelas sangat sukar untuk mengelakkan kemalangan ini dalam apa jua mod (pemanduan sendiri atau pemandu manusia) berdasarkan cara mangsa melintas jalan secara tiba-tiba dari kawasan gelap.”

Moir juga menambah, insiden ini juga berlaku 100-ela dari kawasan melintas, dan menyatakan, “sangat bahaya untuk melintas jalan pada waktu malam sedangkan kawasan melintas yang bercahaya telah disediakan.”

“Saya mengesyaki bahawa Uber berkemungkinan tidak bersalah dalam kemalangan ini. Saya tidak menolak kemungkinan untuk memfailkan caj terhadap (pemandu sandaran) dalam kenderaan Uber tersebut,” kata Moir lagi dan menambah ini merupakan “lapangan baharu untuk diteroka” adakah kereta pemanduan sendiri tersebut boleh jatuhkan sebagai bersalah.

Buat masa sekarang, polis Tempe akan berkerjasama dengan penyiasat dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional dan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhrya Nasional (NHTSA) dalam menyiasat kejadian tersebut. Uber pula telah menghentikan ujian kereta tanpa pemandu berkenaan di Arizona, Pittsburgh, Toronto dan kawasan lain di seluruh Amerika Utara.