Selepas melancarkan Bentley Continental GT bulan lalu, Bentley Kuala Lumpur telah mempertontonkan model First Edition untuk individu dan media terpilih. Berdasarkan Continental GT dengan beberapa sentuhan istimewa dan pilihan secara standard, varian edisi terhad ini dikatakan bakal menjadi ekpresi muktamad bagi grand tourer Bentley, yang dibawakan khas oleh pasukan perekanya.

Hanya mereka yang memiliki mata yang tajam dapat mengesan keunikan First Edition ini dari luar, terutamanya dengan lencana fender Union Jack. Rekaan luaran bagi Continental GT menggambarkan model generasi ketiga ini memiliki paras rupa yang terbaik hingga tiada apa kekurangan yang dapat dibongkarkan.

Lebih banyak elemen menarik pada bahagian dalam, bermula dengan plat tapak First Edition, lencana pada papan pemuka dan jahitan kontras pada lembaran “berlian-dalam-berlian” pada upholstery kulit. Kereta ini juga didatangkan secara standard dengan dwi kekemasan venir, dengan empat pilihan kayuan Tamo Ash, Liquid Amber, Dark Stained Madrona dan Dark Fiddleback Eucalyptus – dipadankan bersama Grand Black yang eksklusif untuk First Edition.

Elemen standard lain yang turut ada pada First Edition ini adalah Bentley Rotating Display yang membolehkan pemandu untuk beralih antara skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci dan meter analog – yang kesemuanya tersembunyi oleh panel kayuan apabila enjin dimatikan. Pencahayaan dan ambang pintu iluminasi juga ditampilkan dengan beberapa warna, turut tersenarai dalam elemen yang disediakan.

Manakala sistem bunyi 10-pembesar suara, 650-watt masih dikekalkan, cuma pilihan ekstra memberikan stereo Bang & Ilufsen dengan 16-pembesar suara dan 15,000 wat. Kereta di dalam foto ini dilengkapi dengan sistem Naim bersama 18-pembesar suara dan kuasa yang lebih tinggi sehingga 2,200 watt.

Beberapa elemen melibatkan kos yang besar pada model standard Continental GT telah ditampilkan termasuk Mulliner Driving Specification dengan roda aloi ringan 22-inci, pedal sport, dan penutup tempat minyak.

Sementara itu, City Specification pula menambahkan pembuka but bebas-tangan, amaran pejalan kaki, pengesan isyarat trafik dan brek bandar, manakala bagi Touring Specification pula menampilkan kawalan kelajuan dengan bantuan kesesakan trafik, bantuan laluan aktif, paparan head-up, night vision dengan kamera infrared dan pre-sense braking.

Bahagian mekanikalnya tiada perubahan, First Edition menggunakan enjin 6.0 liter twin-turbocharged, suntikan-terus W12 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 626 hp pada 6,000 rpm dan tork 900 Nm dari 1,350 rpm ke 4,500 rpm. Ia juga dipadankan dengan transmisi dwi-klac lapan-kelajuan baharu yang menyalurkan kuasa ke semua roda menerusi sistem pacuan semua-roda aktif dengan penvektoran tork menerusi brek.

Ia membolehkan kereta dua-pintu bersaiz besar ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum sehingga 333 km/j. Pada masa yang sama, penggunaan pengaktifan silinder dan start/stop yang boleh berfungsi apabila enjin dimatikan- memberikan penjimatan bahan api sehingga 12.2 liter per 100 km.

Suspensi dikendalikan oleh double wishbone di hadapaan dan multilinks di belakang dengan suspensi udara standard dan kawalan olengan adaptif-sepenuhnya 48-voltan yang pertama kali dilihat pada Bentayga. Bentley menggelarkannya sebagai Dynamic Ride, dan menggunakan penggerak elektronik untuk mengawal palang anti-olengan pada kedua-dua gandar, meningkatkan lagi keselesaan pengendalian.

Akhir sekali, berkaitan dengan harganya. Jika model standard Continental GT bermula RM1.9 juta sebelum GST, cukai jalan dan pendaftaran, bagi First Edition ini ia ditawarkan dengan harga jangkaan RM2.15 juta. Bagi yang memang berkemampuan ‘tahap-gaban’, pasti tak kisah untuk memperuntukkan bajet sebesar itu untuk mendapatkan pujaan hati ini bukan?