Hyundai Tucson generasi ke-tiga kini telah pun berusia tiga tahun. Sejak diperkenalkan pada April 2015, inilah masa yang sesuai untuk pesaing Honda CR-V ini menerima peningkatan. Walau bagaimana pun, masanya belum tiba kerana Tucson facelift terlebih dahulu diperkenalkan di New York International Auto Show.

Model peningkatan pertengahan jangka hayat ini telah menerima beberapa perubahan gaya – dari bahagian hadapan, CUV (crossover utility vehicle) ini menerima bampar baharu dan lampu utama LED yang direka semula dengan lampu nyalaan siang LED baharu. Gril signitur pula nampak lebih menyerlah dan bersudut berbanding sebelum ini. Pilihan roda pula dari size 17- hingga 19-inci, dan semuanya rekaan baharu. Di belakang pula, lampunya berbentuk sedikit berbeza dan menampilkan grafik baharu.

Terdapat juga kelainan di bahagian dalam. Misalnya, bahagian atas papan pemuka kini semuanya baharu – sistem Paparan Audio kini dengan unit “terapung” dan menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto. Corong udara juga direka semula, namun semua yang berada di bawah (kawalan suhu dan lain-lain) masih kekal.

Dengan sedikit kos ekstra, pelanggan boleh memilih pengecas USB dan pad pengecas tanpa wayar Qi. Ia juga menampilkan Blue Link Connected Car System, dengan servis percuma selama tiga tahun. Ini termasuklah Remote Start dengan kawalan suhu, kawalan pengunci pintu, pengesan kereta, Bantuan Tepi Jalan Yang Dipertingkatkan dan Perlindungan Kecurian Kenderaan. Sesetengah elemen ini boleh dikawal dengan menggunakan aplikasi jam pintar Android Wear dan Apple Watch.

Bagi prestasinya, Tucson 2019 ini menerima dua enjin di USA – 2.0 liter suntikan terus empat-silinder (164 hp/205 Nm) dan 2.4 liter empat-silinder (yang menggantikan 1.6 T-GDi, di USA sahaja) dengan hamburan kuasa 181 hp dan tork 237 Nm. Tucson N prestasi tinggi dilaporkan sedang dalam perancangan, mungkin berkongsi enjin dengan i30 N iaitu 2.0 liter turbo dengan kuasa 275 hp dan 353 Nm.

Kini, kedua-dua enjin 2.0 dan 2.4 liter naturally-aspirated dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dengan mod manual Shiftronic. Juga menampilkan overdrive lock-up torque converter untuk penjimatan bahan api yang lebih efisien.

Untuk pasaran lain masih menerima unit petrol 1.6 T-GDi (174 hp) dengan padanan kotak gear manual enam-kelajuan atay pun automatik dwi-klac tujuh-kelajuan (juga FWD atay AWD), tetapi versi yang ditala leboh rendah 130 hp bakal menerima manual enam-kelajuan dan pacuan roda-hadapan. Enjin 2.0 liter turbodiesel pula masih dipadankan sama ada kotak gear manual enam-kelajua atau automatik lapan-kelajuan yang baharu dibangunkan, di mana penjana kuasa 1.6 liter diesel menghasilkan 113 hpor 131 hp kini menyertai barisan yang sama.

Bagi keselamatam, sistem Forward Collision-Avoidance Assist (FCA) dan Lane Keeping Assist (LKA) ditampilkan secara standard. Pilihan keselamatan lain termasuk FCA dengan Pedestrian Detection, High Beam Assist, Surround View Monitor, Advanced Smart Cruise Control dengan Stop-and-Go dan Driver Attention Warning.

“Dari perspektif rekaan, orang ramai akan mengiktiraf keharmonian generasi antara Santa Fe 2019 dan Tucson yang diberi suntikan lebih segar. Unsur signitur dari Hyundai yang mengalir pada beberapa permukaan gril hinggalak ke bahagian belakang menghasilkan kesan yang dramatik dan mewakili DAN Hyundai,” ujar ketua pereka Hyundai Motor AMerika Chris Chapman.

Tucson 2019 merupakan model kelima daripada enam model baharu atau kejuruteraan semula bagiCUV Hyundai yang diperkenalkan menjelang tahun 2020.Bagi pasaran kita, empat varian Tucson ditawarkan, bermula model asas 2.0 Elegance, 2.0 Premium AWD, 1.6 T-GDI dan 2.0 CRDi diesel. Jadi, anda rasa adakah kita memerlukan Tucson facelift di sini?