Aston Martin DB11 V8 kini di Malaysia – enjin dari Mercedes-AMG, 510 PS/675 Nm, bermula RM1.8 juta

Aston Martin DB11 V8 kini di Malaysia – enjin dari Mercedes-AMG, 510 PS/675 Nm, bermula RM1.8 juta

Setelah versi yang dijana enjin V12 diperkenalkan pada pasaran tempatan hampir dua tahun lalu, kini Aston Martin membawa pula model DB11 yang dijana enjin V8 ke Malaysia secara rasmi.

Untuk versi enjin lapan-silinder ini, DB11 dijana enjin yang dibekalkan oleh rakan teknikal Aston Martin iaitu Mercedes-AMG, dengan unit V8 turbo berkembar dari siri ’63’. Enjin M177 yang turut boleh ditemui pada model Mercedes-AMG C63 S tersebut menggunakan sistem pelinciran jenis takungan basah, berbanding enjin M178 pada AMG GT S yang menggunakan sistem takungan minyak pelincir jenis kering.

Dari segi kuasa pula, versi V8 ini menghasilkan 510 PS dan tork maksima 675 Nm, berbanding versi V12 5.2 liter turbo berkembar yang mampu menjana 608 PS/700 Nm. Walau bagaimanapun, Aston Martin tidak menggunakan sekali kotak gear klac berkembar AMG SpeedShift tujuh-kelajuan untuk mengalirkan kuasa dari enjin ke roda belakang, sebaliknya menggunakan unit automatik konvensional lapan-kelajuan dari ZF.

Aston Martin DB11 V8 kini di Malaysia – enjin dari Mercedes-AMG, 510 PS/675 Nm, bermula RM1.8 juta

Walaupun kuasa yang dihasilkan kurang 98 PS/25 dari model V12, versi V8 ini masih mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 301 km/j, atau hanya 0.1 saat lebih lambat dan 21 km/j kurang pada kelajuan maksima.

Ini adalah kerana model dengan enjin lebih kecil ini dibina 115 kg lebih ringan (1,760 kg) berbanding model V12 yang ditimbang pada 1,875 kg. Bagi memuatkan enjin yang jelas berbeeza tersebut, cagak enjin untuk DB11 V8 ini telah direka semula. Talaan suspensi pada badan yang kini lebih ringan ini juga telah dibuat kembali.

Rupa keseluruhan model V8 ini sebahagian besarnya masih sama seperti versi V12. Bagi membezakan antara keduanya, model V8 diberikan sepasang liang udara pada bonet (empat pada model V12), bezel lampu lebih gelap dan juga rim aloi berbeza.

Bahagian dalam juga direka hampir seiras untuk kedua-dua model. Ia dilengkapi dengan kluster informasi digital dengan paparan TFT LCD bersaiz 12-inci, serta skrin tengah utama pada bahagian tengah yang dihubungkan pada sistem infotaimen COMAND – satu lagi contoh kerjasama teknikal antara Mercedes dan Aston Martin.

Aston Martin DB11 V8 ini dijual ‘lebih murah’ dengan harga asas termasuk cukai “sekitar RM1.8 juta” berbanding versi V12 yang dijual pada harga “sekitar RM2 juta”. Ok, sekarang boleh berangan, nak yang V8 ke atau nak tambah lagi RM200k untuk versi V12?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required