Mercedes-AMG C63 facelift kini dengan kotak gear 9G

Mercedes-AMG C63 facelift kini dengan kotak gear 9G

Satu persatu model C-Class diberikan pembaharuan, dan yang terkini, pengeluar dari Jerman itu menunjukkan model paling berkuasa iaitu Mercedes-AMG C 63, yang boleh didapati dalam bentuk badan sedan, coupe, cabriolet dan estate.

Pertamanya, model ini masih lagi menggunakan enjin V8 4.0 liter biturbo M177, yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 503 hp (510 PS) dan 700 Nm tork, dan untuk model bukan S, ia ditala untuk menghasilkan 469 hp (476 PS) dan 650 Nm tork. Satu pembaharuan yang dilakukan, enjin tersebut kini dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT 9G baru, menggantikan unit tujuh kelajuan sebelum ini untuk menghantar kuasa ke roda belakang.

Pada aspek prestasi, semestinya model S adalah lebih berkuasa, dengan yang paling laju adalah model coupe, yang boleh mencatat masa pecutan 0-100 km/j 3.9 saat. Model C 63 bentuk badan lain pula mempunyai perbezaan tidak sampai 0.3 saat untuk melakukan pecutan dalam jarak sama.

Bagi model bukan S, kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j, tetapi bagi model Sedan dan Coupe S, ia boleh mencecah 290 km/j. Model Cabriolet dan Estate hanya boleh mencecah 280 km/j.

Kedua-dua kenderaan kini mendapat manfaat daripada limited-slip differential gandar belakang kawalan elektronik, yang sebelum ini hanyalah eksklusif untuk model S – tapak enjin dinamik masih lagi eksklusif untuk model C 63 S sahaja. Turut diberi secara standard adalah suspensi AMG Ride Control dengan sistem penyerap boleh laras dan dikawal secara elektronik.

Sistem ekzos AMG dengan injap boleh buka juga diberikan secara standard, tetapi pelanggan boleh memilih sistem ekzos prestasi. Dengan sistem pilihan tersebut, pemandu akan mendapat tiga injap yang yang boleh dipilih untuk bunyi yang berlainan.

Untuk penampilan, barisan C 63 ini boleh dibezakan dengan adanya gril Panamericana AMG di hadapan, satu garisan pada bahagian bukaan udara di penjuru bampar, dan diffuser yang lebih ganas. Jika mahukan lebih lagi, mereka boleh memilih pakej AMG Aerodynamic.

Masuk ke dalam, terdapat pilihan baru untuk trim, termasuk kemasan kayu anthracite open-pore oak, open-pore walnut, aluminium longitudinal-grain untuk pintu dan kayu open-pore ash hitam untuk konsol tengah. Jika itu tidak cukup sporty, pemilik juga boleh mendapatkan trim gentian karbon/aluminium AMG.

Mercedes-AMG C63 facelift kini dengan kotak gear 9G

Untuk balutan tempat duduk, pilihan juga telah ditambah untuk termasuk kelabu magma/hitam dengan jahitan kuning, manakala model sedan dan estate boleh dipilih dengan jahitan berlian dalam warna coklat/hitam dan putih mutiara platinum/hitam.

Seperti juga barisan C-Class facelift baru yang lain, model prestasi ini turut mendapat pilihan skrin paparan 10.25 inci (1920×720 pixel) untuk sistem informasi dan hiburan COMAND Online. Unit standard yang diberi adalah tujuh inci (960×540 pixel).

Skrin lain yang memaparkan informasi kenderaan ini terdapat pada panel instrumen, yang boleh dipilih dengan unit 12.3 inci yang datang dengan tiga paparan khas AMG – Classic, Sport dan Supersport. Skrin ini juga boleh memaparkan pelbagai informasi tambahan lain termasuk tekanan G dan catatan masa dalam litar.

Fungsi AMG Track Pace datang standard daam C 63 S, dan menawarkan 80 set data kenderaan yang direkod 10 kali dalam masa satu saat. Melalui data ini, pengguna boleh meneliti secara spesifik pecutan, laju dan pelbagai informasi lain, seterusnya meningkatkan prestasi dalam litar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • HAFIZUL on Oct 31, 2018 at 11:22 am

    HI PAULTAN
    DID YOU HAVE ANY INFORMATION OF THIS MODEL WHEN WILL COME IN TO MALAYSIA?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required