Awal minggu ini pasaran motosikal berkapasiti rendah di Malaysia digegarkan dengan ketibaan sebuah kapcai yang didakwa sebagai “kapcai berkapasiti paling tinggi di dunia”, iaitu SYM VF3i. Ia dilancarkan dengan dua pilihan warna standard (biru dan merah) pada harga RM8,467.28 dan warna hitam matte (SE), pada harga RM8,785.28.

Model ini menjadi perhatian ramai kerana segmen untuknya juga sudah sememangnya cukup ‘panas’, dengan pesaing yang sudah ada termasuk Yamaha Y15ZR, Honda RS150R, dan juga Benelli RFS150i. Semua kapcai ini menggunakan kapasiti enjin 150 cc, tetapi SYM juga mengatasi semuanya dengan enjin 183 cc.

Pelbagai reaksi yang diberikan oleh orang ramai, dan kebanyakannya bergantung kepada keutamaan masing-masing, baik daripada pilihan jenama, pengalaman ataupun cita rasa sendiri. Semua itu adalah persoalan subjektif, oleh itu di sini kami letakkan perbandingan spesifikasi pengeluar untuk empat buah motosikal ini.

Anda boleh lihat sendiri daripada jadual di bawah bahagian manakah sebenarnya yang berbeza di antara semua model ini. Bahagian suspensi, brek dan ukuran badan, jika ada perbezaan pun, cumalah sedikit, tetapi yang menjadi kelainan adalah kapasiti enjin serta kuasanya. Selain itu, SYM VF3i juga mempunyai kelebihan kerana menggunakan tangki bahan api yang lebih besar (7 liter).

Walaupun SYM ada menyatakan jarak yang boleh dicapai dengan isian penuh bahan api ini, ia masih lagi menjadi persoalan ramai. Apa yang boleh kami katakan, tunggu apabila kami dapat menguji model ini nanti, dan kami akan berikan segala laporan penggunaannya.

GALERI: SYM VF3i


GALERI: Benelli RFS150i

GALERI: Yamaha Y15ZR

GALERI: Honda RS150R