Kereta sport pertama Polestar – jenama yang kini bebas dari Volvo – iaitu plug-in hybrid berkenaan telah pun didedahkan pada Oktober tahun lalu, dan bakal diproduksi pada pertengahan tahun hadapan.
Unit prototaip tersebut telah diuji pada cuaca serendah -28 darjah selsius bagi mengenalpasti masalah yang akan timbul pada unit janakuasa dan bateri ketika dipandu pada cuaca sejuk sedemikian.
Dibina berasaskan dari Scalable Platform Architecture (SPA) unit janakuasa plug-in hybrid ini turut menyerupai sistem T8 Twin Engine pada model-model Volvo – dengan enjin petrol memacu roda hadapan, dan dua buah motor elektrik bersama set gear planetari bebas pada kedua-duanya – dapat dikawal menerusi sistem agihan Torque Vectoring.
Gabungan kesemua keseluruhan unit janakuasa tersebut akan menghasilkan 600 hp dan tork maksima gergasi 1,000 Nm. Walau bagaimanapun, 50% dari platform SPA tersebut telah direka semula dan ia hanya unik untuk Polestar 1.
Selain dari menilai ketahanan, ujian kali ini turut dijalankan untuk menala aspek keseimbangan casis dan dinamik pemanduan. “Pemandu uji kami telah memberikan berberapa respon yang mengujakan terutamanya pada pengendalian dan dinamik,” kata CEO Polestar, Thomas Ingenlath.
“Selain gembira dengan keseimbangan casis, mereka juga teruja dengan torque vectoring. Kami kini sangat yakin tentang bagaimana ia akan menambahbaik tindak balas dan ketepatan Polestar 1 semasa mengambil selekoh. Ini merupakan kereta pemandu. Kami sekarang sudah lulus ujian besar dalam pembangunan Polestar 1,dan ujian prototaip akan bersambung sepanjang 2018,” tambahnya lagi.
Selain dari Polestar 1, jenama berkenaan turut akan muncul dengan dua lagi model selepas ini iaitu Polestar 2 dan Polestar 3. Kedua-dua model seterusnya itu bakal menampilkan unit janakuasa elektrik sepenuhnya, di mana Polestar 2 akan dibina sebagai kereta bersaiz sederhana untuk bersaing dengan Tesla Model 3, manakala Polestar 3 pula akan dibina sebagai sebuah SUV.
“Sekarang kami tidak sabar untuk memperkenalkan kereta ini ke China buat pertama kali, pasaran utama untuk Polestar,” kata Ingenlath lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.