Arch Motorcycles, iaitu sebuah syarikat pengeluar motosikal kustom milik bersama pelakon terkenal Keanu Reeves dan Gard Hollinger dan telah memperkenalkan sebuah model baru yang dinamakan sebagai Method 143. Ia hanya akan dihasilkan dalam jumlah terhad 23 unit, namun harganya tidak disiarkan secara umum.

Seperti model-model lain yang pernah dihasilkan oleh syarikat ini, Method 143 mengetengahkan rekaan unik, hasil kerja elegan serta ciri kejuruteraan maju yang boleh dilihat pada keseluruhan motosikal. Buat pertama kali juga, Method 143 menjadi motosikal konsep produksi yang menggunakan casis mono-cell gentian karbon.

Di dalam casis ini terdapat ruang yang dijadikan sebagai tangki bahan api bersepadu, dan ia digabungkan dengan sub-casis yang diperbuat daripada aluminium potongan mesin CNC. Untuk panel badan, kebanyakannya menggunakan aluminium dan ia mempunyai potongan khas berjalur seperti yang boleh dilihat di bahagian ‘tangki’ dan belakang.

Bukan penampilan sahaja yang unik dan garang, Method 143 juga dikuasakan oleh enjin besar, iaitu unit V-Twin 2,343 cc S&S Cycle T143, dan dilengkapi dengan pelbagai barangan prestasi seperti fork dan penyerap belakang Ohlins boleh laras sepenuhnya serta brek berkembar enam piston ISR di depan dan empat piston di belakang.

Untuk rim, unit 17 inci rekaan khas gentian karbon digunakan dan ia dibalut dengan tayar Michelin Power RS. Melengkapkan prestasi serta bunyi yang pastinya menakutkan, motosikal ini dipasang dengan dua ekzos SC Project inspirasi MotoGP yang dihasilkan menggunakan gabungan bahan titanium, gentian karbon dan aluminium.