Satu sejarah baru bagi syarikat dicipta oleh Perodua apabila mereka berjaya mencatat perkongsian pasaran tertinggi selama ini iaitu pada tahap 43% untuk bulan April. Malah, catatan lebih daripada 40% ini sudah mula dicapai oleh Perodua sejak Januari lagi, dan secara keseluruhannya, untuk tahun ini (sehingga April), mereka sudah berjaya menjual 75,500 buah kenderaan.
Bukan setakat perkongsian pasaran, jumlah jualan kenderaan Perodua juga meningkat sebanyak 16.8% jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun lepas. Kemudiannya, ia disokong lagi dengan tempahan yang juga meningkat 14.2% menjadi 113,900 unit.
Untuk bahagian pengeluaran, dua kilang Perodua di Sg Choh, Rawang telah mengeluarkan sebanyak 71,300 buah kenderaan dari bulan Januari hingga April tahun ini, dan ia bersamaan dengan peningkatan sebanyak 14.6% berbanding tahun lepas.
Walaupun bermula dengan baik, ketua pegawai eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh memberitahu sasaran jualan syarikat masih lagi dikekalkan pada tahap 209,000 bagi tahun ini. Ia boleh difahami, kerana terdapat beberapa keadaan yang tidak tentu dalam industri sekarang seperti perubahan kadar GST kepada kosong, dan penguatkuasaan semula SST 10% pada masa yang akan diberitahu kelak.
Tambah Aminar lagi, beliau sendiri masih tidak dapat memberitahu sama ada apabila SST dikuatkuasakan nanti, harga kenderaan akan naik atau tidak, tapi secara matematiknya, ia seperti akan menunjukkan peningkatan. Walaubagaimanapun, beliau perlu berbincang dengan pelbagai pihak terlebih dahulu sebelum keputusan dapat dibuat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.