Januari 2018 baru saja berlalu, dan Perodua sudah mendapat petunjuk prestasi yang sangat memberangsangkan sebagai permulaan untuk tahun ini. Berdasarkan anggaran angka dalaman, hanya bagi bulan pertama tahun ini sahaja syarikat itu telah menjual sebanyak 17,693 unit kenderaan.

Ini seterusnya menyumbang kepada lebih 40% bagi kadar perkongsian pasaran, jika mengambil kira jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi bulan yang sama, sebanyak 43,930 unit. Ini adalah pencapaian tertinggi sepanjang sejarah jenama itu di Malaysia.

Sepanjang bulan Januari, semua model keluaran Perodua mendahului di dalam segmen masing-masing; 9,029 unit Myvi, 4,085 unit Axia, 2,776 unit Bezza dan 1,803 Alza telah berjaya dijual. “Walaupun bukan merupakan angka rasmi daripada MAA, kami sangat optimistik dapat mencapai angka-angka ini, dan menjadi kadar perkongsian pasaran terbesar yang pernah Perodua capai,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

Menurut beliau lagi, prestasi ini antaranya didorong oleh penyerahan Myvi terbaru, serta permintaan yang masih lagi kukuh bagi model-model lain. Satu lagi berita gembira buat Perodua, tempahan terkini bagi model popular Myvi juga sudah mencecah 48,000 unit sejak tempahan mula dibuka November lalu.

Daripada jumlah berkenaan, serahan unit ke-18,000 juga dilakukan hari ini kepada pemiliknya, Wong Wai Cheng dari Negeri Sembilan. “Kami juga sangat berbesar hati untuk umumkan bahawa sebanyak 20,000 unit Myvi sudah menemui pemilik baru mereka setakat ini, dan sudah sejuta unit Myvi didaftarkan di Malaysia sejak tahun 2005,” tambah Aminar.

Dalam perkembangan berkaitan vendor pula, tahun ini Perodua mensasarkan untuk membeli lebih dari RM5 bilion komponen dan alat ganti daripada vendor-vendor tempatan. Dengan semua model Perodua menggunakan lebih daripada 90% komponen tempatan, langkah ini dijangka akan dapat memperkukuh kedudukan ekonomi dalam eko-sistem industri automotif yang terlibat.