PANDU UJI: Nissan Serena S-Hybrid 2018 – mampukah ia terus menjadi MPV keluarga yang berbaloi dimiliki?

PANDU UJI: Nissan Serena S-Hybrid 2018 – mampukah ia terus menjadi MPV keluarga yang berbaloi dimiliki?

Menjadi MPV No.1 dalam jualannya di negara kelahirannya, Jepun, bukanlah setakat omong kosong. Di sana, memang tidak dinafikan ia menjadi pilihan khususnya golongan berkeluarga. Kredibiliti dan praktikalitinya diyakini, tambahan pula, ia tergolong dalam segmen MPV yang mampu milik.

Bagaimana dengan pasaran di Malaysia? Selepas pertama kali Nissan Serena S-Hybrid diperkenalkan pada tahun 2013, tetap mendapat sambutan biarpun bukanlah sebagai MPV No.1 di sini. Namun pasarannya tidaklah sendu, cuma tidak juga bagai ‘pisang goreng panas’.

Pada 14 Mei lalu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah melancarkan model generasi ke-lima MPV ini, namun ia bukanlah terlewat untuk tiba di pasaran Malaysia selepas dua tahun ia diperkenalkan di Jepun. Merupakan model pemasangan tempatan (CKD), ia menawarkan dua varian iaitu Highway Star dan spesifikasi tertinggi Premium Highway Star.

Disebabkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan mulai 1 Jun ini, ETCM telah mengumumkan harga baharu bagi semua barisannya, termasuklah MPV ini. Varian Highway Star yang sebelum ini ditawarkan pada harga RM135,500, kini menjadi RM127,874.84. Manakala Premium Highway Star yang pada mulanya diletakkan harga RM147,500, telah diturunkan menjadi RM139,195.59. Kesemua ini adalah harga atas jalan tanpa insurans.


PANDU UJI: Nissan Serena S-Hybrid 2018 – mampukah ia terus menjadi MPV keluarga yang berbaloi dimiliki?

Dengan harga yang dilihat sebagai mampu milik, adalah penawaran yang diberikan oleh Serena S-Hybrid 2018 dilihat berbaloi? Terutamanya bagi mereka yang sudah berkeluarga atau memerlukan kenderaan seumpama MPV ini. Adakah ia masih mampu meneruskan kesinambungan berhubung kredibiliti dan praktikalitinya?

Baru-baru ini, paultan.org diundang untuk menyertai sesi pandu uji oleh pihak ETCM. Bersama Mick Chan (paultan.org English) dan ZhiJian (paultan.org Chinese) kami memandu secara bergilir-gilir ke Pulau Pinang, sebelum pulang ke Kuala Lumpur keesokan harinya. Kami diberikan varian Highway Star untuk diuji.

Secara mekanikalnya, MPV ini masih menggunakan penjana kuasa yang sama dengan C26 Serena iaitu enjin MR20DD 2.0 liter suntikan-terus CVTC-berkembar empat-silinder petrol. Enjin ini menghamburkan kuasa sehingga 150 PS pada 6,000 rpm dan tork 200 Nm pada 4,400 rpm.

Padanan transmisi Xtronic CVT yang telah diberikan penambahbaikan dengan rasa yang lebih optimum, telah ditambah dengan motor ECO (1.9 kW) untuk mengawal ciri Idling Stop dan berfungsi juga sebagai pengganti semasa nyah-pecutan. Ketika MPV ini dipandu, kuasa elektrik untuk sistem pancitan bahan api enjin dan sistem elektrikal lain tidak dibekalkan oleh alternator, sebaliknya dari bateri utama dan bateri tambahan.

PANDU UJI: Nissan Serena S-Hybrid 2018 – mampukah ia terus menjadi MPV keluarga yang berbaloi dimiliki?

????????????????????????????????????

Ini membolehkan beban enjin ketika beroperasi dikurangkan, seterusnya memberikan kecekapan tenaga yang lebih baik. Motor ECO berkenaan juga akan memberikan tork tambahan 48 Nm terus ke aci engkol selama 1 saat semasa MPV ini mula bergerak dari keadaan pegun dan enjin baharu dihidupkan setelah dimatikan ketika sistem idling auto start/stop berfungsi. Di mana enjin akan dihidupkan semula dalam tempoh 0.3 saat apabila pedal brek dilepaskan.

Bercerita mengenai enjinnya, ia memberikan prestasi yang sederhana, memuaskan dan jarang mengecewakan. Ia masih mampu dipecut dengan kelajuan melebihi 150 km/j, walau pun ada tikanya terasa ‘sedikit sengsara’ pada permulaan pecutan memandangkan MPV ini berkerangka besar dengan enjin berkapasiti 2.0 liter. Walau pun Nissan berkata, berat MPV baharu ini telah dikurangkan sebanyak 12 kg berbanding model terdahulu, namun ia tetap terasa ‘berat’ untuk membawa bebanan terutamanya di laluan berbukit. MPV baharu ini boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam masa 13.5 saat.

Tapi jika berada dalam kelajuan yang tinggi, ia mungkin bakal mempengaruhi penggunaan bahan api jika anda memijak pedal pendikit secara berlebihan bagi mengerahkan enjinnya menghamburkan kuasa yang diingini. Walau bagaimana pun, menurut Nissan, tahap penggunaan bahan api yang dicatatkan oleh model ini pula ialah 14.2 km/l mengikut kitaran NEDC. Ini memberikan peningkatan kecekapan bahan api sebanyak 13% berbanding yang sebelumnya.

Namun begitu, enjin Serena S-Hybrid kali ini ternyata lebih senyap, cuma bunyi desiran angin dan tayar adakalanya mampu menembusi kabin apabila kelajuan dipertingkatkan melebihi 120 km/j.

Dengan suspensi topang Independent MacPherson untuk bahagian hadapan dan gandar Torsion bagi belakang banyak membantu memberikan kemantapan dan kestabilan yang lebih memuaskan terhadap pengendalian MPV ini. Malah mounting suspensi depan dan belakang juga dikeraskan, disertakan dengan injap prestasi tinggi di dalam penyerap hentak, menjadikan pemanduan lebih stabil dan selesa. Kesan olengan badannya juga agak kurang berbanding sebelum ini.

Bagi pengendaliannya, nisbah rak stereng yang ditingkatkan untuk maklum balas yang lebih cepat serta variable assist pada stereng kuasa elektriknya agar menjadi lebih ringan ketika kelajuan rendah dan menjadi lebih berat ketika kelajuan ditingkatkan. Cermin hadapan (windscreen) yang besar cukup memberikan lontaran pandangan yang memuaskan.

Memiliki ukuran 4,770mm panjang, ketinggian 1,865mm, dan selebar 1,740mm, sebenarnya tidaklah sukar untuk mengendalikan Serena S-Hybrid. Malah jika mahu membuat pusingan U, ia mampu memberikan jejeri pusingan paling minimum sehingga 5.7m. Cuma, mungkin agak sedikit sukar jika terpaksa melalui lorong yang sempit dan ketika mahu memarkirnya jika ruang parkir kecil. Tapi itu memang adab resam sebuah ‘van’ sepertinya.

Untuk aspek keselamatan pula, Serena S-Hybrid ini turut dilengkapi dengan ABS, EBD, BA, Isofix dan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) pula diberikan secara standard untuk kesemua varian, selain turut mendatangkan fungsi Bantuan Mula Mendaki dan menambah empat lagi beg udara, menjadikannya enam unit, berbanding hanya dua unit pada model sebelum ini

PANDU UJI: Nissan Serena S-Hybrid 2018 – mampukah ia terus menjadi MPV keluarga yang berbaloi dimiliki?

hdr

Okay, bagaimana dengan imej yang diserlahkan untuk model serba baharu ini? Memandangkan bahagian mekanikalnya hanya ada perubahan yang amat minima, begitu juga dengan bentuk kotaknya, dimensi malah rekaan roda aloinya juga tiada perubahan. Maka serlahan gaya lebih ditonjolkan.

Gaya yang lebih moden dan sofistikated lebih menyerlah berbanding model sebelum ini. Lampu utama LED projektor hadir ditemani dengan lampu kabus hadapan. Walau bagaimana pun varian ini tidak didatangkan dengan lampu nyalaan siang LED, seperti mana yang ditampilkan pada Premium Highway Star. Tona warnanya juga senada, tidak ditampilkan dengan dua tona berbeza seperti mana varian spesifikasi tinggi itu.

Bukaan pintu gelangsar dwi-kuasa pada kedua-dua belah sisi kenderaan juga lebih besar, memberikan kemudahan kepada penumpang untuk akses masuk dan keluar. Malah ia juga didatangkan dengan bukaan bebas-tangan untuk membuka dan menutup pintu tersebut. Cermin sisinya juga dilengkapi dengan indikator membelok.

Di belakangnya, ia menampilkan rekaan yang tidak banyak berbeza dengan model lama, ditampilkan lampu LED iluminasi dengan mentol biasa, serta lampu kabus. Pintu belakangnya pula masih bukaan secara manual. Menariknya, pintu tersebut ditampilkan dengan bukaan-terpisah. Sama ada ingin membuka pintu tersebut secara keseluruhan, mahu pun boleh dibuka secara separuh.

Seperti mana yang dimaklumkan, rekaan bagi rodanya juga tidak berbeza dari model sebelumnya. Ia juga dipadankan dengan tayar Bridgestone Ecopia EP150 bersama rim berdiameter 15-inci. Mungkin agak kurang sepadan saiz tayar yang kecil dengan badan MPV ini yang besar. Tetapi Nissan mempunyai alasan tersendiri termasuklah faktor penjimatan bahan api, tayar yang bersaiz lebih besar pastinya membuatkan kenderaan lebih berat, sekaligus mempengaruhi penggunaan bahan api,

Memasuki ruang kabinnya, kelihatan paparan pada papan pemukanya yang biasa sahaja. Tona warna hitam menjalari segenap ruang, tidak seperti varian Premium yang ditambah dengan sentuhan warna coklat yang memang nampak sedikit elegan dan mewah.

Pada papan pemukanya, kluster instrumennya diletakkan sedikit atas, malahan ia juga menampilkan skrin sesentuh Clarion 6.75-inci di bahagian tengah yang turut bertindak sebagai pemain MP3 dan radio yang turut disertakan dengan empat-pembesar suara dan sambungan Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto.

Walau bagaimana pun, butang kawalan bagi skrin ini agak sukar kelihatan di bawah silauan matahari. Pada roda stereng pula tidak dilengkapi dengan kawalan audio, malahan kedudukan roda stereng ini biar pun telah dilaras atas atau ke bawah sedikit, ia mengganggu pandangan mata ke arah speedometer.

MPV ini juga didatangkan dengan Paparan Pandangan Sekeliling 360-darjah (I-AVM) dengan Pengesan Objek Bergerak Pintar (I-MOD), di mana skrin paparannya yang agak kecil terletak di skrin atas. Bukan itu sahaja, ia masih mengekalkan brek parkir kaki yang lebih konvensional berbanding brek parkir elektronik.

Ciri lain yang terdapat pada bahagian kabin termasuklah butang push start, kemasukan tanpa kunci, kawalan suhu zon-tunggal untuk hadapan dan barisan kedua, kawalan kelajuan, tirai matahari untuk tingkap barisan kedua, perakam video DVR, 10 tempat letak cawan, tempat duduk balutan fabrik dengan fungsi larasan manual bagi pemandu, penumpang hadapan dan juga di barisan kedua.

Tempat duduk barisan ketiga pula boleh dilipat dengan nisbah 50:50, USB port di hadapan yang terletak di ruang yang agak tersorok dan agak kedalam hingga menyukarkan tangan mengendalikannya (bersebelahan dengan glove box), dua USB port yang setiap satunya diletakkan di belakang tempat duduk pemandu dan penumpang di hadapan (bagi kegunaan penumpang di belakang) dan jumlah keseluruhan USB port bagi MPV ini ialah tujuh unit, cukup untuk kesemua penumpangnya.

Untuk Serena S-Hybrid kali ini, tempat duduk ‘captain’ dengan perehat tangan di barisan kedua hanya ada dua sahaja, sedangkan sebelum ini ia boleh dijadikan tiga tempat duduk dengan satu bangku di bahagian tengah yang boleh ditolak ke hadapan iaitu antara tempat duduk pemandu dan penumpang di sebelahnya. Jadi secara tidak langsung, jumlah kapasiti penumpang untuk MPV serba baharu ini hanya mampu memuatkan tujuh orang, berbanding lapan pada model sebelum ini. Namun keputusan yang dilakukan oleh Nissan ini dilihat agak relevan, kerana kedudukan tujuh tempat duduk khususnya bagi barisan kedua dan ketiga yang fleksibel membuatkan ruang untuk meletakkan barangan besar lebih optimum.

Bukan itu sahaja, akses untuk barisan terakhir juga lebih baik dan fleksibel berbanding sebelum ini. Malah kesemua tempat duduk bagi MPV baharu ini dilengkapi dengan teknologi Nissan’s Zero Gravity, sekaligus memberikan keselesaan yang lebih jitu.

Dan demi keselesaan para penumpang, ruang kabinnya telah menerima keluasan tambahan iaitu lebarnya telah ditambah sebanyak 65 mm, manakala panjangnya pula ditambah 180 mm berbanding model sebelum ini.

Secara konklusinya, Serena S-Hybrid 2018 ini selayaknya dipilih menjadi MPV keluarga yang menarik dan hebat, malah banyak elemen telah dipertingkatkan berbanding model lama. Dengan harganya yang boleh disifatkan sebagai mampu milik, kredibiliti dan praktikalitinya juga cukup memuaskan hati. Malah ia juga berbaloi untuk dipertimbangkan sekiranya anda mencari kenderaan sebegini. Apa komen anda mengenainya? Adakah ia selayaknya diletakkan dalam pilihan MPV No.1 di negara ini, seperti mana pilihan rakyat Jepun? Kongsinya komen anda bersama kami di ruang di bawah ini.

GALERI:Nissan Serena S-Hybrid C27 Premium Highway Star 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required