Selepas mengambil kira beberapa perkara termasuk kos yang begitu tinggi dan kepentingannya, termasuk juga hutang negara yang telah mencecah trilion ringgit, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nekad untuk membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Walau bagaimana pun, berkemungkinan pihak kerajaan perlu membayar pampasan sebanyak RM500 juta ekoran pembatalan projek mega tersebut, laporan Bernama.

“Ia adalah keputusan muktamad tetapi ia akan memakan masa berikutan kita mempunyai perjanjian dengan Singapura. Ia tidak memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia akan membabitkan kos yang amat besar dan kita tidak akan meraih keuntungan daripadanya disebabkan ia landasan yang pendek,” katanya pada sidang media semalam.

Katanya lagi, Malaysia akan membincangkan perkara tersebut dengan Singapura tidak lama lagi dengan hasrat untuk mengendalikan pembatalan projek itu dengan “kos yang rendah”.

HSR yang disasarkan beroperasi pada 2026, akan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Projek sepanjang 350 kilometer (km) itu akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan melebihi 300km sejam.