Alfa Romeo telah memperkenalkan Giulia Quadrifoglio dan Stelvio Quadrifoglio edisi terhad NRing, di mana setiap satunya hanya dikeluarkan sebanyak 108 unit sahaja, sempena dengan ulangtahun ke-108 pengeluar kereta Itali itu. Persamaan ciri yang ada bagi kedua-dua model Giulia dan Stelvio edisi NRing ini ialah warna luaran Circuito Grey dan plak nombor antara kabin.

Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan spesifikasi Quadrifoglio, dijanakan dengan enjin petrol 2.9 liter biturbo V6 yang mampu menghamburkan kuasa 510 PS dan tork 600 Nm. Giulia mampu dipacu dari 0-100 km/j dengan hanya 3.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 307 km/j, sementara Stelvio pula 3.7 saat bagi 0-100 km/j dan kelajuan maksimum mencecah 283 km/j.

Elemen standard bagi model edisi terhad NRing termasuk brek seramik karbon, tempat duduk racing Sparco dengan jahitan merah dan struktur pelindung gentian-karbon, roda stereng kemasan Alcantara dengan gentian-karbon, dan tombol tuil gear automatik kemasan gentian-karbon. Giulia NRing turut mendapat bumbung gentian-karbon, semantara Stelvio NRing pula dengan padanan bumbung panoramik larasan elektronik.

Ciri lain bagi edisi NRing sama seperti model standard termasuk Welcome Kit dengan sarung tangan racing Sparco dan jaket, serta beg sport Alfa Romeo, Quadrifoglio cuff-link dan kasut pemandu Car Shoe serta model skala kecil mengikut pilihan masing-masing, selain undangan pengalaman pemanduan dengan Alfa Romeo di Nurburgring.

Nurburgring Nordscheleife menjadi saksi apabila Giulia mampu mencatat tujuh minit 32 saat, dan Stelvio pula tujuh minit 51.7 saat, menjadikannya terpantas bagi sedan Itali tersebut dalam pusingan mengelilingi litar terkemuka Jerman itu.

Malahan ia turut menambah reputasi bagi pembangunan kenderaan prestasi-tinggi, dan menjadi adat untuk menamakan model istimewa itu dengan nama litar tersebut.