Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 2.5 juta notis kompaun kesalahan trafik masih belum dijelaskan orang awam.

Menurut Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Fadzilah Abd. Rashid berkata, bagi mengelakkan pesalah dibawa ke mahkamah dan disenarai hitam, mereka dinasihatkan membuat bayaran sebelum 30 Jun ini, laporan Bernama.

“Urusan pembayaran boleh dilakukan melalui kaunter bayaran DBKL, kaunter pejabat cawangan DBKL, kiosk pembayaran di Menara DBKL 1 Jalan Raja Laut, Menara DBKL 3 (Wawasan), Pejabat Cawangan Seputeh dan Projek Perumahan Rakyat Desa Rejang,” katanya.

Selain itu, pembayaran juga boleh dilakukan di semua kaunter pejabat Pos Malaysia atau secara dalam talian di laman web, www.myeg.com.my atau aplikasi Mobis yang boleh dimuat turun melalui Play Store (android) atau App Store (iOS).

Tambahnya, orang ramai diminta mengambil peluang untuk membuat bayaran sebelum tempoh kadar khas kompaun berakhir.

Pada Februari lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz mengumumkan, DBKL melanjutkan tempoh diskaun bayaran kompaun kepada pesalah trafik sehingga 30 Jun ini.

Katanya, diskaun kompaun lalu lintas yang diberikan adalah RM20 bagi motosikal, RM30 (kereta) dan RM50 untuk kenderaan berat.