C70 enjin 600 cc hadiah cabutan bertuah AOS 2018

C70 enjin 600 cc hadiah cabutan bertuah AOS 2018

Kalau tahun lepas seorang pengunjung bertuah Art Of Speed berjaya membawa pulang Yamaha RXZ Twin Boss, tahun ini perkara sama akan dilakukan oleh penganjur acara tersebut, tetapi dengan hadiah yang berbeza. Untuk tahun ini, penganjurnya menyediakan sebuah Honda C70 yang diubah suai secara radikal dengan enjin 600 cc daripada model XR600R.

Jentera istimewa ini dibina oleh orang sama yang membuat RXZ Twin Boss, iaitu Mohamad Irwann bin Mohd Azlan atau lebih dikenali sebagai Cheng daripada FNG Works, Ipoh. Beliau yang berumur 27 tahun mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan mendapat kepercayaan pengasas AOS, Asep Ahmad untuk melakukan projek yang susah diterima akal orang biasa ini.

Menurut Cheng, projek ini agak sukar kerana selain perlu memuatkan enjin yang besar tersebut, beliau juga masih perlu mengekalkan identiti C70. Hampir keseluruhan bahagian kerangka diubah suai, manakala bahagian lengan ayun pula diambil daripada model Honda Wave dan dipanjangkan.

Enjin satu silinder 600 cc empat strok yang digunakan kemudiannya dipadankan bersama sistem bahan api karburetor Keihin PWK 39 mm dan sistem pendawaiannya dibuat semula khas untuk motosikal ini. Walaupun nampak agak rendah (mungkin kerana enjin yang berat), Cheng memberitahu motosikal ini tidak direndahkan dan masih menggunakan suspensi asal yang sudah diperbaiki semula di hadapan dan penyerap 300 mm di belakang.

Banyak lagi bahagian lain motosikal ini turut diubah suai oleh Cheng bagi memastikan enjin itu dapat disokong pada badan asalnya yang kecil. Tangki bahan api dikecilkan supaya dapat mempunyai besi sokongan di bawahnya, manakala penukar gear juga adalah unit binaan khas yang kini mempunyai penukaran seperti GP Shift.

Seperti yang anda boleh lihat, Honda C600R yang turut digelar sebagai ‘Papa Jahat’ ini masih lagi belum siap sepenuhnya dan Cheng akan meneruskan kerja untuk memastikan ia lengkap untuk dibawa ke AOS 2018 pada 28 dan 29 Julai ini. Pada hari terakhir acara itu, seorang pengunjung bertuah akan dipilih untuk membawa pulang projek yang sudah menelan belanja hampir RM45,000 ini.

Dan bagi yang masih belum faham, motosikal ini hanyalah satu projek cabaran untuk menunjukkan kemampuan kejuruteraan, dan memang tidak halal untuk digunakan atas jalan biasa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required