Honda CX500 1979 “Semut Api” – dari kedai besi buruk ke Rusty Factory; idea kreatif radikal ‘Ipoh mali’

Honda CX500 1979 “Semut Api” – dari kedai besi buruk ke Rusty Factory; idea kreatif radikal ‘Ipoh mali’

Medan Station 18 di Ipoh, Perak mempunyai tarikan yang cukup “kena” barangkali untuk menjadi pangkalan aktiviti bagi Rusty Factory, sebuah bengkel motosikal binaan khas dan kustom. “Karat” pada namanya terbawa-bawa dengan jelas seperti yang terlihat pada imej kawasan persekitaran di situ.

Bengkel Rusty Factory terletak di satu sudut yang lebih sunyi di kawasan komersial berkenaan. Bangunan-bangunan rumah kedai yang ada di sekeliling kebanyakannya terbiar. Ada yang pintunya sudah roboh, ada juga yang bahagian bumbungnya sudah runtuh.

Hanya ada satu atau dua bengkel servis kenderaan yang menghidupi kawasan berkenaan. Dan, kalau tak biasa dengan tempat-tempat seperti ini, mungkin anda sama sekali tak akan tergerak hati pun untuk merayau-rayau di sekitarnya kalau tak ada apa-apa tujuan. Tetapi, semua ini bukanlah bermaksud untuk dinyatakan sebagai kekurangan dalam bentuk apa pun; ia sebenarnya menyuntik aura tersendiri yang unik bagi Rusty Factory – penyumbang kepada attitude yang dibawa oleh bengkel kecil ini.

Honda CX500 1979 “Semut Api” – dari kedai besi buruk ke Rusty Factory; idea kreatif radikal ‘Ipoh mali’

Dari jalan depan, untuk masuk ke lorong yang betul ke bengkel ini, ia agak senang untuk dikenal pasti; ada sebuah bas mini Mercedes-Benz lama yang akan menjadi penanda bahawa anda sudah berada di “kejiranan” Rusty Factory. Kami di paultan.org meluangkan masa beberapa jam di bengkel ini pada satu petang Sabtu yang tenang untuk bersembang santai dan mengenali dengan lebih dekat kelompok individu di sebalik jenama berkenaan.

Bengkel ini diusahakan oleh Muhammad Khalid bin Musa – dikenali dengan nama ringkas Alip – yang kini berusia 31 tahun. Secara umum, semua kerja-kerja bengkel diusahakannya sendiri, tetapi tentulah dengan bantuan rakan-rakan kolektif lain yang berkongsi minat yang sama.

“Saya mula buat kerja-kerja custom motosikal di bawah nama Rusty Factory ni kira dah lima tahun macam tu, dari 2012. Mula dari rumah di kampung. Dua tahun lepas barulah saya pindah ke bengkel yang ada sekarang ini,” jelas Alip, yang menyatakan penglibatan dan minatnya terhadap kerja-kerja mengubah suai estetika motosikal ini bermula sebenarnya secara tidak sengaja.

Honda CX500 1979 “Semut Api” – dari kedai besi buruk ke Rusty Factory; idea kreatif radikal ‘Ipoh mali’

“Awal dulu, kawan-kawan yang bagi idea untuk saya cuba buat kerja-kerja ubah suai atau custom motosikal. Kalau tidak, sebelum itu saya hanya buat sedikit sebanyak modifikasi enjin untuk dapatkan prestasi bagi motosikal-motosikal kapcai bersesaran kecil.

“Tapi, sebab dah memang minat motosikal, jadi saya perlahan-lahan masuk dunia custom ni,” tambah Alip yang hanya belajar sendiri tentang semua perkara yang diperlukan untuk menjadikan idea yang ada itu satu kenyataan.

“Jadi, ada kawan yang bagi motosikal mereka untuk saya ubahkan penampilannya. Antara yang terawal ialah motosikal Yamaha RS100 lama,” jelas Alip. Sepanjang penglibatannya setakat ini, sudah hampir 50 motosikal pelanggan dan rakan-rakan yang mendapat sentuhannya.

Tapi yang paling menarik adalah tentang rekaan sebuah motosikal lama, Honda CX500 tahun 1979 yang dihasilkannya tahun lalu. Mengapa? Melalui motosikal inilah Alip dan rakan-rakannya meluahkan seratus peratus idea dan kreativiti “buas” mereka untuk mengubah secara menyeluruh imej motosikal berkenaan.

Tanpa perlu memikirkan tentang input dari pemilik/pelanggan atau tanpa perlu risau tentang hal-hal lain yang bersangkutan dengannya. Apa yang mereka perlu lakukan adalah untuk menghasilkan sebuah motosikal kustom tanpa apa juga pantang larang atau kekangan.

“Motosikal ini sebenarnya kami jumpa di sebuah kedai besi buruk, yang ada juga buat perniagaan kitar semula botol kaca. Dalam tahun 2013. Dengan harga RM2,000, kami ambil keputusan untuk beli, walaupun sebenarnya tak tahu apa nak buat dengan motosikal berkenaan waktu itu. Lama motosikal ini terbiar walaupun dah berada dalam simpanan saya,” jelasnya.

Honda CX500 1979 “Semut Api” – dari kedai besi buruk ke Rusty Factory; idea kreatif radikal ‘Ipoh mali’

“Antara yang awal saya buat ialah buka dan baraikan bahagian enjin. Dua tahun lamanya saya termenung tak tahu nak buat apa dengan enjin itu. Lepas itulah baru saya belajar macam mana nak pasang balik semua komponen yang ada. Macam mana caranya? Memanfaatkan internet, saya muat turut buku panduan asal model berkenaan yang dikeluarkan oleh Honda dan buat percubaan sendiri untuk pasang balik sampai berjaya,” tambah Alip.

Hanya pada tahun 2017 barulah motosikal terbabit muncul semula dalam bayangan kepala Alip untuk diberi nyawa baru; itu pun selepas mengambil keputusan untuk ikut serta di dalam pertandingan motosikal binaan khas oleh bakat-bakat tempatan sempena acara Art of Speed (AOS 2017) tahun yang sama.

“Jadi, waktu itu barulah saya cari jalan macam mana nak teruskan idea untuk projek ni. Oleh kerana tak cukup duit, saya teringatkan seorang kawan dan juga pelanggan yang pernah suarakan keinginan untuk memiliki motosikal Honda CX500 ini, lama dulu. Jadi saya hubungi dia dan buat satu perjanjian,” jelasnya.

Alip menawarkan kesanggupan untuk melepaskan motosikal terbabit dengan satu syarat; kawan itu tadi perlu mengeluarkan dana untuk projek berkenaan dan tidak masuk campur dengan apa yang ingin dilakukan oleh Alip ke atas motosikal itu. Sebagai balasan, motosikal itu nanti akan bertukar tangan hak milik kepada kawannya itu. Dan persetujuan pun dicapai.

Maka dalam tempoh enam bulan dari Januari 2017, Alip meluangkan masa dan tenaga sepenuhnya untuk membayangkan motosikal yang bakal dihasilkan itu. “Memang dari awal saya dah ada perancangan apa nak buat terhadap motosikal ini. Tapi, macam biasa, yang terjadi tak selalunya sama dengan apa yang kita rancang,” jelasnya.

Dua bulan sebelum tarikh akhir untuk siapkan motosikal terbabit, Alip berhenti mengambil tempahan dari pelanggan. Dan, dalam tempoh-tempoh akhir itu juga apa yang dirancang pada awalnya mempunyai takdir yang tersendiri dan bertukar menjadi sesuatu yang lain pula ceritanya.

“Sudahnya, saya buang sub-frame belakang pada motosikal asal. Masih gunakan enjin yang sama tapi dah siap overhaul, dan saya ubah sepenuhnya proportion asal rekaan motosikal ini untuk jadi satu motosikal yang sama sekali berlainan,” tambahnya. Bagi enjin, tiada apa-apa ubah suai dilakukan – dari spesifikasi asal enjin V-Twin 496 cc dua-silinder dengan empat-injap itu mampu menghasilkan 50 hp yang disalurkan oleh kotak gear lima-kelajuan manual.

Lain-lain, bahagian bawah fork depan juga ditambah untuk dapatkan “garis kedudukan” yang lebih menarik bagi motosikal ini. Suspensi tunggal di belakang, tak ada meter apa pun yang tinggal serta tempat duduk khas menjadi antara penyumbang kepada imej ganas yang dibawa oleh jentera ini. Hasilnya adalah seperti apa yang dapat kita lihat kini, sebuah motosikal yang sama sekali menerima sentuhan rekaan yang radikal jika dibandingkan dengan wajah asalnya.

Dengan kos hampir RM30,000 yang dikeluarkan untuk kerja-kerja ubah suai serta pembelian alat ganti asal terutamanya bagi komponen enjin, kepuasan sebenar dari semua ini bukanlah habuan wang ringgit. Sebaliknya ia adalah untuk melihat kemampuan diri dan bakat tempatan untuk tampil menghasilkan sesuatu yang diluar jangkaan.

“Perkara yang saya beri perhatian bagi projek ini ialah untuk menghasilkan sebuah motosikal dengan estetika rekaan dan penggayaan yang berada di luar daripada kebiasaan. Dan daripada maklum balas yang diterima, rasanya Rusty Factory berhasil untuk mencapai perkara itu,” tambah Alip yang ironinya ketika ini tidak pun mempunyai motosikal sendiri.

“Saya beri nama motosikal ini Fire Ant, atau Semut Api. Dan nampak gayanya ramai yang suka dengan apa yang mereka lihat pada motosikal ini. Bahkan, pemerhati perkembangan motosikal kustom dari luar negara pun ada yang kagum dengan hasil yang kami tunjukkan, kerana menurut mereka model motosikal ini bukanlah senang untuk dikerjakan, apa lagi untuk lari jauh dari penampilan model asalnya yang membosankan. Itu pujian yang cukup besar untuk kami,” tambah Alip. “Semut Api” ini merupakan juara bagi pertandingan motosikal binaan khas oleh bakat tempatan pada acara AOS 2017.

Apa selepas ini? “Saya sedang usahakan sebuah lagi motosikal binaan khas sepenuhnya yang diasaskan dari motosikal BMW R75/6 tahun 70an (kerangka putih dalam gambar) untuk acara AOS tahun ini. Selain itu, saya juga ingin beri tumpuan dan cari jalan macam mana nak perluaskan potensi perniagaan. Paling penting, macam mana nak bawa hasil kerja Rusty Factory ini ke peringkat luar pula, mungkin boleh dimulakan dengan negara-negara serantau dahulu. Itu yang kami ingin cuba lepas ni,” ujar Alip.

Honda CX500 1979 “Semut Api” – dari kedai besi buruk ke Rusty Factory; idea kreatif radikal ‘Ipoh mali’

Dengan sebungkus dua air milo dan nescafe ais jadi peneman, sisa petang Sabtu itu kami habiskan dengan bual santai tentang macam-macam hal berkaitan minat mereka terhadap budaya motosikal tempatan, disertai juga antaranya oleh Cheng dari FNG Works yang juga sedang menyiapkan sebuah motosikal street cub 600 cc dari asas sebuah Honda C70, serta teman-teman lain yang rapat dengan Rusty Factory.

Seperkara yang menarik perhatian adalah bagaimana keghairahan dan minat mendalam mereka terhadap dunia dan budaya kreatif sebenarnya mampu ditolak ke sempadan yang lebih jauh. Dan, untuk itu, Ipoh akan terus berada di dalam peta penggemar-penggemar motosikal dan seni kreatif. Harapnya Rusty Factory dan teman-teman dapat mencari jalan untuk menjaja bakat mereka ke daerah yang lebih jauh selepas ini.

Dari arkib rasmi Rusty Factory (Kredit: Azha Rozali)

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required