Bagi peminat kenderaan binaan khas, atau sebutan mudahnya custom, hujung minggu lalu mungkin menjadi saat yang ditunggu-tunggu; acara Art Of Speed 2017 (AOS 2017) berlangsung dengan sangat meriah untuk meraikan kepelbagaian penggiat-penggiat tempatan dan juga antarabangsa.

Memasuki penganjuran bagi tahun ke-enam, acara yang berlangsung di MAEPS, Serdang ini berjaya menarik minat begitu ramai pengunjung untuk turut serta sepanjang dua hari ia berlangsung. Banyak kenderaan-kenderaan menarik, pengenalan model baru serta jualan aksesori serta persembahan muzik rancak menghiasi jadual acara.

Antara model motosikal baru yang diperkenalkan secara rasmi kepada umum ialah Ducati Scrambler Cafe Racer dan Desert Sled, yang kini sudah mula dijual untuk pasaran tempatan pada harga bermula RM69,000 termasuk GST. Anda boleh juga mengikuti laporan tunggang uji dari Almiera, Sepanyol bagi model Desert Sled yang sempat kami lalukan.

Selain itu, banyak model-model motosikal (temasuk Yamaha RX-Z dua enjin ini) dan kereta binaan khas yang turut dipamer. Antara yang menarik untuk dinyatakan antaranya seperti sebuah Volvo 121 yang menggunakan enjin 1UZ V8, sehinggalah kepada sebuah Mini Cooper dengan enjin Honda K2. Tidak ketinggalan, Datsun Bluebird 510 dalam tema Hot Wheels turut kelihatan.

Dua dewan yang tersedia menampilkan banyak hasil kerja tangan penggiat-penggiat yang mempunyai daya kreativiti dan kerja-kerja yang terperinci. Dari satu sisi, modifikasi dan sentuhan custom yang diberikan, terutama oleh anak-anak tempatan yang turut dipamerkan, menunjukkan bakat yang tidak kalah hebatnya.

Terlalu banyak untuk diperkatakan tentang acara ini, dan tak ada cara lain yang lebih baik untuk itu selain membiarkan gambar-gambar ini berbicara sendiri. Jika anda tidak sempat bertandang hujung minggu lalu, galeri besar ini kami sediakan untuk anda merasakan betapa rencamnya idea-idea dan kepelbagaian kreativiti yang bagi kelompok peminat dan penggiat kenderaan binaan khas di Malaysia.