Selepas didatangkan dalam empat variasi iaitu Icon, Classic, Full Throttle dan Sixty2, Ducati tahun ini telah melancarkan dua lagi tambahan variasi bagi model Scrambler iaitu Cafe Racer dan Desert Sled. Kedua-dua motosikal ini sudah tiba di pusat pameran Ducati di Petaling Jaya dan ia dijual pada harga yang sama iaitu RM68,999 termasuk GST tetapi tanpa insurans.

Scrambler Cafe Racer dan Desert Sled masih lagi menggunakan enjin dua silinder L 803 cc Desmodromic sama seperti Scrambler Icon, dan kuasanya masih lagi adalah 73 hp pada 8,250 rpm dan 67 Nm tork pada 5,750 rpm. Transmisi juga sama, iaitu unit klac basah APTC.

Walaubagaimanapun, kelengkapan Cafe Racer dan Desert Sled mempunyai perbezaan bagi memenuhi keperluan yang tersendiri – Cafe Racer lebih sporty manakala Desert Sled untuk mereka yang mahukan kelebihan boleh meredah jalan kasar menggunakan Scrambler Ducati ini.

Jika dibandingkan dengan model Icon, Desert Sled mempunyai suspensi Kayaba boleh laras sepenuhnya lebih tinggi (200 mm jarak gerak di hadapan), rim jenis lidi 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, tayar Pirelli Scorpion Rally STR, kerangka Trellis yang diperkuat, lengan ayun (+25 mm) dan jarak roda yang lebih panjang (1,505 mm) serta ergonomik penunggang yang diubah.

Selain itu, Ducati turut menjadikan tindak balas pendikit Desert Sled lebih lembut, manakala sistem brek masih sama seperti Icon dengan unit cakera 330 mm dan angkup Brembo radial 4 piston di hadapan, dan cakera 245 mm dan angkup satu piston terapung di belakang. Walaubagaimanapun, hos bendalir brek Desert Sled kini menggunakan salutan besi dan laluan baharu supaya lebih tahan.

Scrambler Desert Sled mempunyai berat keseluruhan, siap dengan bendalir dan minyak 207 kg, dan barangan standard lain yang datang padanya adalah tangki besi, penghadang lumpur roda hadapan tinggi, lampu utama hadapan dengan light guide LED, jeriji pelindung lampu hadapan, panel meter LCD, pelindung bahagian bawah enjin, ruang simpan di bawah tempat duduk dengan soket pengecas USB dan penghadang lumpur belakang lebih panjang.

Scrambler Cafe Racer pula mempunyai gaya tunggangan lebih agresif, dengan penggunaan pemegang jenis clip-on yang lebih rendah dan ke hadapan, tempat duduk 15 mm lebih tinggi, rim 17 inci, tayar Pirelli Diablo Rosso II, master cylinder brek jenis radial dan suspensi yang lebih keras (spring ditukar).

Pada aspek penampilan, Scrambler Cafe Racer boleh dilihat mempunyai kelengkapan seperti cermin sisi di hujung pemegang, penutup tempat duduk belakang, pemegang nombor plet di bawah, fender hadapan lebih pendek dan lampu utama yang direndahkan sedikit. Turut diubah adalah logo dan lencana yang terdapat pada tangkinya.

Pelancaran rasmi dua motosikal ini hanya akan diadakan semasa acara Art Of Speed hujung bulan ini, namun Ducati Malaysia sudah mula membuka tempahan dengan harga seperti yang disebutkan di atas. Anda juga boleh membaca laporan tunggang uji Scrambler Desert Sled kami yang dikeluarkan hasil daripada sesi tunggang uji di Almeria, Spain di sini.

GALERI: Ducati Scrambler Cafe Racer

GALERI: Ducati Scrambler Desert Sled