Masjid bergerak pertama diperkenalkan di Jepun – persediaan untuk sukan Olimpik 2020 di Tokyo

Sebuah masjid bergerak yang bakal digunakan ketika penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 telah didedahkan di Stadium Toyota, Toyota City, Wilayah Aichi di Jepun Isnin lalu.

Masjid berkenaan dibina berasaskan trak kargo Hino Profia, diubahsuai bagi memberikan bukan sahaja ruang yang besar, malah pelbagai kelengkapan diberikan bagi mejadikan ia sebagai sebuah masjid yang lengkap. Menurut pengurusan projek ini iaitu Yasu Project, masjid ini “dihasilkan oleh peneraju teknologi untuk kenderaan ubahsuai khas di Jepun dan standard serta hasil akhirnya tidak mampu dicapai oleh pihak lain”.

Dalam keadaan asal dan bergerak, ‘fasiliti’ ini merupakan trak kargo dengan lebar keseluruhan 2.5 meter. Namun setelah ia berhenti, bahagian sisi trak ini boleh dilebarkan sepanjang enam meter dengan hanya menekan butang elektrik, dan berubah dalam masa hanya lima minit.

Masjid bergerak pertama diperkenalkan di Jepun – persediaan untuk sukan Olimpik 2020 di Tokyo

Tambahan ruang berkenaan menjadikan ruang solat dalam masjid ini seluas 48 meter persegi, atau mampu memuatkan seramai 50 orang jemaah pada satu-satu masa. Masjid ini juga lengkap dengan ruang wuduk pada bahagian luar, manakala dalam ruang solat ia dilengkapi dengan empat unit penghawa dingin bagi memastikan keselesaan jemaah dalam apa jua cuaca.

Bekalan elektrik pada masjid ini dibekalkan oleh generatornya sendiri dengan jumlah kuasa 10 KVA. Bahagian bumbung masjid ini diberikan cat jenis GAINA yang diubahsuai dari kegunaan pembinaan sebenar, manakala dindingnya pula menerima cat yang biasanya digunakan pada teknologi angkasa iaitu cat berprestasi tinggi yang memberikan tebatan haba terbaik.

Menurut Masjid Al Nour Islamic Center Fukuoka, projek ini telah dimulakan empat tahun lalu, namun dua tahun lalu pegawai eksekutif korporat Yasu Project, Encik Junya Imamura telah bertemu dengan mereka bagi membincangkan pandangan syariah islam berhubung pembinaan masjid bergerak untuk pelawat beragama Islam ketika berkunjung ke negara berkenaan ketika musim acara-acara besar.

“Hampir dua tahun dari sekarang, Tokyo akan menganjurkan sukan Olimpik dan Paralimpik 2020, acara sukan besar yang akan menjadi tumpuan di mata dunia. Semakin hampir acara berkenaan, keterujaan di Tokyo dan seluruh negara turut meningkat. Semakin hampir tarikh berkenaan, kami juga turut menjangkakan peningkatan pelancong dari seluruh dunia. Salah satu tugas penting kami adalah untuk menyediakan infrastruktur pelancongan ketika acara tersebut yang akan memberikan pengalaman positif dan memuaskan kesemua pelawat yang datang dari pelbagai negara, kebudayaan dan kepercayaan,” kata pengerusi eksekutif komiti, Yasuharu Inoue.

“Seiring dengan tugas kami untuk membina fasiliti utama di Tokyo dan kawasan sekelilingnya, dari venue utama di Stadium Nasional baharu hingga ke arena, hotel dan pelbagai lagi untuk acara tersebut, satu isu yang mahu saya bangkitkan iaitu memberikan omotenashi (hospitaliti dalam bahasa Jepun) untuk mereka yang beragama Islam, salah satu agama terbesar di dunia,” jelas Inoue lagi.

Kita di Malaysia juga sebenarnya sudahpun mempunyai kemudahan hampir seperti ini, iaitu sebuah bas yang diubahsuai menjadi Surau Bergerak milik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang disumbangkan oleh Bank Rakyat dua tahun lalu. Surau Bergerak berkenaan turut dilengkapi dengan kelengkapan untuk berwuduk dan sistem penghawa dingin, dan mampu memuatkan seramai 35 orang jemaah dalam satu-satu masa.

GALERI: Surau Bergerak milik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required