Awal tahun ini, Perodua Myvi generasi ketiga telah pun masuk ke pasaran Indonesia secara rasmi, dan ramai yang sudah mengetahui bahawa ia tidak dijual dengan logo Perodua di republik berkenaan, sebaliknya diberikan lencana Daihatsu Sirion.

Pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini, Sirion turut memeriahkan suasana di kawasan pameran Daihatsu. Model berkenaan sememangnya model yang dihasilkan dan diproduksi di Rawang, cuma diberikan jenama yang berbeza.

Di Indonesia, Sirion bukanlah model yang bersaing pada pasaran hatchback Low Cost Green Car atau kereta segmen-A dengan enjin di bawah 1.2 liter, sebaliknya merupakan pilihan model yang lebih premium daripada itu.

Walau bagaimanapun, Daihatsu Sirion untuk pasaran Indonesia ini hanya ditawarkan dalam versi 1.3L, tanpa pilihan enjin 1.5 liter. Seperti juga Myvi, model berkenaan dijana enjin 1NR-VE bersama pilihan kotak gear sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik. Ia juga di hadir dengan hanya satu varian.

Sekali tengok, Sirion 1.3L ini nampak macam model Myvi 1.5L, ini kerana ia diberikan rim 15-inci dua-tona sama dengan model tertinggi di Malaysia berkenaan. Ia juga menerma sistem infotainmen dengan skrin sesentuh, manakala ciri lain adalah seiras dengan Myvi 1.3 Premium X di sini, terdiri dari lampu LED, lampu kabus, penderia parkir hadapan dan belakang, sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin.

Sirion juga turut diberikan roda stereng dengan balutan kulit dan butang pelbagai fungsi, perehat kepala belakang boleh laras, kawalan penghawa dingin digital dan pengecas USB pada bahagian sisi pemandu.

Untuk keselamatan, model ini menerima sistem ABS, EBD, VSC, pengingat pemakaian tali keledar belakang dan empat beg udara (dua hadapan, dua sisi). Talaan kuasa bagi enjin masih kekal sama dengan Myvi iaitu 95 PS/121 Nm, namun Sirion tidak diberikan sistem start-stop enjin automatik eco-idle.

Dengan kesemua kelengkapan ini, Daihatsu Sirion dijual pada harga bermula Rp 182.5 juta (RM51,384) untuk model manual manakala versi automatik pula dijual pada harga Rp 193.5 juta (RM54,484). Sebagai perbandingan, Perodua Myvi 1.3L dijual pada harga bermula RM44,300 hingga RM48,300 tanpa GST, di Malaysia.