Pameran GIIAS 2018 di Jakarta turut menyaksikan penampilan sulung di Asia bagi model Lexus UX, sebuah SUV saiz kecil jenama itu yang pertama kali dipertonton diperingkat dunia ketika pameran di Geneva, Mac lalu.

Lexus UX merupakan penawaran SUV paling kecil, diposisikan di bawah model NX dan merupakan segmen baru untuk jenama Jepun itu. Akan memberi saingan kepada model seperti BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA, Lexus UX merupakan model pertama yang menggunakn platform Global Architecture-Compact (GA-C).

Menurut Lexus, model ini memberikan kerangka yang teguh, dan disebabkan titik gravitinya yang rendah, ia mampu menyediakan kendalian yang baik dan selesa. UX memiliki dimensi 4,496 mm panjang dengan 2,639 mm jarak antara roda; menjadikannya 144 mm lebih pendek dari NX, walaupun hanya 21 mm kurang bagi jarak antara roda.

Rekaan dalamannya pula baru, tetapi masih kekal dengan sentuhan Lexus seperti pada model-model lain. Pemandu dapat memerhatikan jalan dengan pemandangan yang luas, dengan posisi pemanduan seperti sebuah hatchback.

Model ini datang dalam dua varian, UX 200 dan UX 250h hibrid. UX 200 menggunakan enjin 2.0 liter baru, menghasilkan 168 hp dan dipadankan dnegan transmisi Direct-Shift CVT yang juga baru. UX 250h pula dilengkapi dengan sistem hibrid generasi keempat – dengan unit enjin yang sama – dan menjana secara keseluruhannya 176 hp.

Dengan bateri nickel metal-hydride (NiMH) dan sistem penyejukannya yang kompak ditempatkan di bawah tempat duduk belakang, ruang kabin dan kargo dapat dimaksimumkan. Sistem E-Four pula memberikan keupayaan AWD bagi model hibrid berkenaan, menggunakan motor elektrik tambahan pada gandar belakang.

Kereta yang dipertontonkan ini dilengkapi tahap kemasan F Sport, dengan spring khusus serta palang penstabil, dan penyerap hentak prestasi di belakang. Ia juga didatangkan dengan rim aloi 18-inci. Di dalam, ia dilengkapi dengan paparan TFT lapan-inci, pedal alumium serta stereng F Sport.