Barisan SUV Lexus hari ini menerima satu tambahan model baru yang dikenali sebagai UX dan ia adalah crossover kompak mewah pertama jenama itu. Menurut Lexus, UX disasarkan untuk pembeli dalam lingkungan umur 30-an, dan ia juga adalah model pertama yang menggunakan platform GA-C Global Architecture – Compact, yang hadir dengan struktur serba kuat dan titik graviti yang rendah.

Walaupun ia nampak lebih ringkas dan berbeza berbanding UX Concept yang ditunjukkan pada 2016, beberapa pendekatan rekaan masih lagi dikekalkan. Ini termasuk bahagian fender, garis badan ditengah serta kemasan pada lengkungan tayar yang digunakan. Rekaan gril spindle Lexus masih digunakan, bersama versi baru bagi DRL LED dilanjutkan ke bahagian atas lampu utama.

Dengan jarak roda 2,639 mm dan panjang keseluruhan 4,495 mm, UX menawarkan pengendalian yang mudah dalam kawasan bandar. Jika dibandingkan dengan NX, model ini adalah 144 mm lebih pendek manakala jarak rodanya pula berkurangan 21 mm.

UX juga menggunakan rekaan kabin baru, tapi masih mengekalkan identiti Lexus. Ia dikatakan dapat memberi pemandu pandangan lebih jelas kepada jalan, dalam masa sama posisi pemandu masih terasa sporty. Menurut Lexus lagi, butang kawalan juga diletakkan berhampiran pemandu, supaya mereka dapat menggunakannya sambil duduk selesa di tempat duduk.

Untuk kemasan bahagian dalam, UX didatangkan dalam dua pilihan corak, dengan satu daripadanya mendapat inspirasi daripada kertas Jepun yang dikenali sebagai washi. Kemasan ini dihasilkan menggunakan proses khas dan dapat memberikan rasa yang lebih tenang. Satu lagi kemasan adalah menggunakan kulit, seperti Lexus LC dan sedan LS.

Untuk penampilan pertama ini, UX didatangkan dalam dua versi iaitu UX 200 dan UX 250h hibrid. Bagi model UX 200, ia melihatkan penggunaan enjin baru Dynamic Force 2.0 liter NA yang dipadankan bersama transmisi CVT Direct Shift, mampu menghasilkan sebanyak 168 hp.

Transmisi CVT Direct Shift yang digunakan ini menggabungkan kelancaran sebuah kotak gear CVT dengan rasa yang lebih tepat. Berbeza dengan kotak gear CV biasa, unit yang digunakan pada UX ini mempunyai set gear tambahan untuk pecutan permulaan, dan dapat menjadikan UX lebih pantas dan lebih cekap.

Enjin sama juga digunakan pada UX250h, tetapi ditambah dengan sistem hibrid generasi keempat baru, mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 176 hp. Sistem hibrid yang diguna mempunyai transaxle dan Power Control Unit yang lebih kompak dan ringan, direka untuk mengurangkan kehilangan kuasa melalui haba dan geseran. Bateri nickel metal-hydride (NiMH) pada kenderaan ini diletakkan di bawah tempat duduk belakang, sekaligus tidak mengganggu ruang simpanan barang sambil menyokong titik graviti yang rendah.

Sistem E-Four pada UX250h memberikannya pacuan semua roda dengan meletakkan motor elektrik tambahan di gandar belakang. Pembahagian kuasa antara depan dan belakang dioptimakan secara automatik semasa memecut, mengambil selekoh atau di atas jalan yang licin. Sekiranya terdapat gelinciran di roda belakang, kuasa akan ditingkatkan sehingga 80%, pada kelajuan sehingga 70 km/j.

Lexus UX250h juga menampilkan penggunaan Predictive Efficient Drive, iaitu sistem pertama Lexus yang dapat menganalisa tabiat pemanduan, keadaan jalan serta trafik untuk mengoptimakan pengecasan bateri hibrid pada kenderaan tersebut. Lebih banyak ia dipandu, lebih banyak data yang dapat dikumpul untuk membantu penjimatan bahan api. Walaupun begitu, sistem ini masih boleh ditutup.

Melalui sistem Predictive Deceleration Support pula, ia akan menggunakan data yang dikumpul berkenaan tabiat pemandu untuk menjangka bila dan di mana kenderaan tersebut akan perlahan atau berhenti. Sebagai contoh, apabila UX ini mendekati kawasan di mana pemandu sebelum ini pernah perlahan atau berhenti, ia akan membantu meningkatkan penjanaan semula kuasa brek sewaktu pemandu memperlahankan kenderaan.

Satu lagi sistem, iaitu Predictive State of Charge (SOC) untuk bateri hibrid kenderaan ini adalah teknologi pertama di dunia yang dapat berfungsi pada jalan menurun bukit dan trafik yang sesak. Apabila UX ini dipandu mengikut arahan navigasi, sistem ini akan menjangka laluan untuk mengecas bateri sehingga 10 km ke hadapan.

Lexus UX juga boleh didapati dalam versi F Sport, untuk kedua-dua UX 200 dan UX 250h. Dalam pakej ini, pembeli akan menerima talaan suspensi khas yang termasuk spring, stabiliser bar serta penyerap berprestasi tinggi untuk meningkatkan pengendalian, dan ia juga boleh digabungkan dengan pilihan Adaptive Variable Suspension (AVS).

Bahagian luar versi F Sport ini tentunya lebih sporty, termasuk perubahan pada gril, hiasan lampu kabus, bampar serta rim 18 inci. Di dalam, UX F Sport mendapat tempat duduk hadapan sport, meter boleh gerak, stereng F Sport balutan kulit, skrin TFT lapan inci dan pedal aluminium. Turut disertakan adalah Active Sound Control (ASC) yang dapat meningkatkan bunyi penukaran gear, dan kesan bunyi “S+ Sound” dalam mod Sport S+.