Lexus LC dilancarkan di Jepun – dari RM504,600

Lexus LC dilancarkan di Jepun – dari RM504,600

Setahun selepas Lexus LC membuat penampilan pertama semasa Detroit Auto Show 2016, kereta coupé mewah itu akhirnya mula dijual di Jepun. Dengan tetapan dua pintu, kereta yang cukup bergaya ini dihasilkan daripada inspirasi kereta konsep LF-LC, dan ditawarkan dalam dua variasi iaitu LC 500 dan LC 500 Hybrid.

Model untuk produksi ini mempunyai penampilan yang sama dengan model yang ditampilkan di pameran automotif sebelum ini, dengan badan yang kelihatan rendah dan perincian yang cukup menarik. Bonet hadapan yang rendah menyerlahkan penampilan kereta ini, dan ia ditambah dengan lampu triple-projector LED yang kompak, bersama lampu siang LED.

Dari tepi, anda boleh melihat LC baru ini menggunakan rim yang besar – sama ada 20 atau 21 inci – manakala bahagian belakang menggunakan bentuk ramping yang juga menyamai karekter dibawa gril hadapannya. Lampu penunjuk arah berbentuk tegak, turun ke bawah daripada lampu belakang menyerlahkan lagi kedudukan rendah kereta ini, bersama dengan muncung ekzos dan diffuser yang juga terletak rendah.

Lexus LC dilancarkan di Jepun – dari RM504,600

Masuk ke bahagian dalam yang menyediakan tempat duduk 2+2, terdapat kokpit yang fokus kepada pemandu, dengan terdapat pembahagi di antara penumpang dan pemandu. Lexus mendakwa telah menguji secara teliti kedudukan memandu pada kereta ini, termasuk pada bahagian pedal, kedudukan suis, sudut roda stereng dan kesesuaian tempat duduk itu untuk memastikan pengalaman pemanduan yang lebih selesa.

Kulit jenis semi-anline digunakan pada tempat duduk model pertengahan pakej L, menampilkan binaan dua bahagian meningkatkan ciri memegang dan keselesaan, bersama bonjolan tambahan pada bahagian bahu untuk sokongan lateral. Tempat duduk Alcantara pada model asas dan pakej S yang paling tinggi pula menampilkan lebih banyak bonjolan untuk memegang pemandu di tempatnya, bersama lapik untuk keselesaan.

Rekaan papan pemuka melintang LC mempunyai panel meter utama dan kawalan fungsi yang terletak pada ketinggian yang sama, supaya pemandu tidak perlu menggerakkan mata terlalu banyak untuk membacanya. Panel paparan meter TFT LCD dengan gegelung tengah yang boleh bergerak juga diperelok berbanding unit yang terdapat pada LFA.

Lexus LC dilancarkan di Jepun – dari RM504,600

Lexus juga memberi perhatian kepada rekaan roda stereng, dengan terdapat cabang berlekuk supaya pemandu dapat memegang dengan pelbagai cara apabila mengendalikan kenderaan. Pedal penukar gear di stereng kini menggunakan aloi magnesium dan diletakkan pada kedua-dua LC 500 dan LC 500h.

Sistem bunyi asas 12 pembesar suara yang digunakan turut dipertingkat dengan kualiti bunyi lebih baik, tanpa sebarang pembetulan tambahan dan kedudukan pembesar suara serta akustik dioptimakan. Disediakan sebagai pilihan adalah sistem bunyi menyeluruh Mark Levinson Reference 13 pembesar suara, yang termasuk teknologi Clari-Fi.

Sementara itu, ciri Lexus Climate Concierge mengawal sistem pengawal suhu automatik, bersama pemanas di tempat duduk dan stereng. Secara keseluruhannya, pembeli boleh memilih antara tujuh warna badan, termasuk satu warna intensiti tinggi Naples Yellow Contrast Layering. Bagi bahagian dalam pula, terdapat empat pilihan skema warna, termasuk yang baru, Ochre dan Breezy Blue.

Lexus LC dilancarkan di Jepun – dari RM504,600

Lexus LC dibina di atas platform Global Architecture – Luxury (GA-L) baru, yang menampilkan badan tegar menggunakan campuran besi biasa serta yang berkekuatan tinggi, aluminium dan gentian karbon. Untuk memberikan pembahagian berat lebih baik, enjin di bahagian depan diinjak 50 mm ke belakang dan tiada tayar kecemasan (didatangkan dengan tayar run-flat), seterusnya membolehkan bateri diletakkan di belakang (dan but lebih besar).

Dengan menggunakan pusat graviti yang rendah, jurutera yang membangunkan LC dapat mengurangkan sudut olengan tanpa perlu menggunakan spring keras boleh merosakkan pemanduan. Hasilnya, pergerakan badan kenderaan ini lebih terkawal, tepat, bertindak balas secara linear dan seterusnya menyumbang kepada pemanduan lebih lancar termasuk sewaktu mengambil selekoh dan menukar lorong.

Suspensi yang digunakan pada LC adalah daripada jenis multilink di depan dan belakang, dengan bahagian depan mendapat rekaan arm yang lebih optimal untuk meningkatkan maklum balas stereng, manakala bahagian belakang pula menerima konfigurasi yang terletak lebih rendah, dengan arm yang diletakkan pada lokasi lebih tepat dan bersesuaian untuk kawalan di kelajuan tinggi. Turut membantu adalah penggunaan ball joint berkembar pada arm ini.

Pakej S pada LC akan diberi dengan Lexus Dynamic Handling, iaitu termasuk ciri Variable Gear Ratio Steering (VGRS), Active Rear Steering (ARS) dan stereng kuasa elektrik untuk meningkatkan reaksi stereng dan tasa yang lebih terus semasa mengambil selekoh kelajuan tinggi. Turut disediakan sebagai pilihan adalah limited-slip differential untuk pecutan pertengahan selekoh lebih stabil, dan ia bekerja bersama dengan Vehicle Stability Control (VSC) dan ARS untuk mengurangkan understeer dan oversteer.

LC 500 dikuasakan oleh enjin V8 Atkinson-cycle NA 5.0 liter yang diambil daripada model GS F dan RC F. Enjin ini mempunyai teknologi VVT-i dan sistem suntikan terus D-4S, dengan penyambung rod diperkuat dan injap titanium. Untuk menyampaikan angin dengan lebih baik kepada enjin, terdapat dua saluran udara, manakala penyerap juga digunakan untuk mengurangkan bunyi dan gegaran.

Secara keseluruhan, enjin ini boleh menghasilkan 471 hp pada 7,100 rpm dan 540 Nm pada 4,800 rpm. Ini seterusnya membolehkan LC 500 memecut 0-100 km/j di bawah 5.4 saat dan kuasa tersebut disampaikan oleh kotak gear automatik 10 kelajuan dengan nisbah yang diletakkan lebih rapat.

Lexus LC dilancarkan di Jepun – dari RM504,600

Antara ciri baru lain pada transmisi ini adalah pengawal AI-Shift dengan penukar mod pemanduan. Ia boleh memilih nibah yang optimum bukan sahaja berdasarkan kelajuan dan penggunaan pendikit, tetapi juga berdasarkan sejarah pemanduan yang direkod. Ini membolehkan kotak gear tersebut menganggar perlakuan dan kemahuan pemandu, meskipun pemandu tidak mengusik butang pemilih mod pemanduan. Torque converter juga baru pada unit ini.

Sementara itu, LC 500h pula menggunakan enjin V6 3.5 liter dengan Dual VVT-i yang dipadankan dengan sistem Multi Stage Hybrid yang terdiri daripada motor elektrik yang mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion 311 V. Transmisi yang digunakan pula adalah unit automatik empat kelajuan.

Kuasa daripada enjin sahaja adalah 299 PS pada 6,600 rpm dan 356 Nm tork pada 5,100 rpm, manakala daripada motor elektrik pula adalah 180 PS dan 300 Nm tork. Secara keseluruhannya, padanan ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 354 hp.

Lexus LC dilancarkan di Jepun – dari RM504,600

Datang standard pada semua model LC adalah Lexus Safety System + serba lengkap, termasuk Pre-Collision System dengan Pedestrian Detection, Pre-Collision Brake Assist, All-Speed Dynamic Radar Cruise Control, Lane Departure Alert dengan Steering Assist dan Vehicle Sway Warning dan Intelligent High Beam.

Dibuat di kilang Motomachi, yang sebelum ini mengeluarkan LFA, Lexus LC 500 dijual pada harga 13,000,000 yen (RM504,600) untuk model standard dan pakej L, dan 14,000,000 yen (RM547,800) untuk pakej S paling tinggi. Bagi LC 500 h pula, 13,500,000 yen (RM528,200) ditetapkan untuk model biasa dan pakej L, manakala pakej S dijual pada harga 14,500,000 yen (RM567,300).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required