Lexus LC 500, LC 500h didedahkan dengan terperinci

Lexus LC 500, LC 500h didedahkan dengan terperinci

Lexus akhirnya mendedahkan perincian penuh berserta gambar coupé baru Lexus LC – sebuah model dua pintu bergaya yang dihasilkan berdasarkan model konsep LF-LC tahun 2012. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kereta sports baru jenama ini datang dalam dua variasi iaitu LC 500 dan LC 500 h hibrid.

Ciri rekaan adalah antara tarikan utama pada LC, dan menurut ketua jurutera Lexus, Koji Sato, ia adalah satu cabaran yang getir untuk mengekalkan penampilan seperti kereta konsep sebelum ini. Sebagai contoh, masa enam bulan diambil untuk mereka semula geometri penyambung suspensi hadapan bagi mendapatkan garis bonet yang rendah, sementara lampu utama LED yang nipis menjadikan overhang kereta ini pendek.

Juga pada bahagian hadapan, gril spindle unik Lexus menggunakan warna krom, dan mempunyai rekaan tautan baru – kepadatan rekaan tersebut semakin berkurangan apabila ia semakin meregang di sepanjang bahagian tengah kenderaan. Lampu siang LED berasingan menambah gaya unik yang dihasilkan oleh lampu utama tiga LED.

Lexus LC 500, LC 500h didedahkan dengan terperinci

Garis bumbung serta penggunaan kaca menimbulkan sesuatu yang dipanggil oleh Lexus sebagai bayangan unik, dengan c-pillar berwarna hitam yang menimbulkan visual bumbung tersebut seperti terapung. Hiasan krom pada bumbung tersebut menimbulkan rasa elegan, dengan penjuru belakangnya dihasilkan untuk kelihatan seperti pedang tradisional Jepun.

Pada bahagian belakang, garis luar gril tadi dibawa juga ke belakang, tetapi pada garisan keliling lampu belakang, sebelum ditarik ke luar untuk mengikuti tempat letak no plat dan hujung luar ekzos. Lampu belakang itu sendiri mempunyai cermin yang menghasilkan pantulan tiga dimensi siri grafik berbentuk L. Pembeli boleh memilih sama ada rim 20 inci atau 21 inci.

Aerodinamik juga antara perkara penting yang diambil kira pada kenderaan ini. Selain salur udara dan pembelah angin yang boleh dilihat di hadapan dan sisi, bahagian bawah kenderaan juga direka dengan barang-barang yang selari dengan laluan udara dan boleh keluar dengan lancar ke bahagian diffuser belakang. Spoiler aktif yang boleh naik pada kelajuan 80 km/j disediakan sebagai pilihan tambahan.

Tempat duduk yang disediakan adalah jenis 2+2 dan kokpitnya bertumpu kepada pemandu, dengan terdapat pembahagi tengah di antara pemandu dan penumpang. Tahap pinggang pemandu diletakkan serendah mungkin kepada titik tengah graviti kenderaan, dan Lexus memberitahu bahawa hud dan panel meter yang rendah serta A-pillar yang nipis membantu penglihatan ke bahagian luar kenderaan, walaupun duduk rendah.

Kedudukan di dalam LC seperti kereta lumba, dengan kaki melunjur masuk ke ruang yang luas di bawah papan pemuka. Tempat duduknya, menampilkan binaan dua bahagian berasingan untuk keselesaan dan boleh memegang dengan baik, sementara tempat duduk sports yang disediakan sebagai pilihan pula didatangkan dengan lebih sokongan.

Semua butang yang berkaitan dengan pemanduan seperti pedal penukar gear, suis pemilih mod pemanduan, butang pemula dan tombol gear diletakkan berhampiran dengan stereng manakala paparan informasi pula diletakkan pada kedudukan yang mudah dilihat dan pemandu tidak perlu mengalih mata terlalu jauh. Paparan meter dan informasi jenis TFT LCD dengan bulatan tengah yang bergerak adalah unit yang dibangunkan daripada model LFA.

LC diletakkan atas platform Global Architecture – Luxury (GA-L) baru, yang menggunakan gabungan bahan besi biasa serta yang berkekuatan tinggi, aluminium serta gentian karbon. Untuk membahagikan berat dengan lebih baik, enjin yang terletak di hadapan dibawa 50 mm ke belakang, dan tayar simpanan diganti dengan tayar run-flat. Dengan itu, bateri juga boleh diletakkan di belakang dan but boleh dijadikan lebih besar.

Disebabkan titik graviti yang rendah, LC masih dapat memberikan keselesaan dan tugas menyerap dijalankan oleh unit multilink di hadapan dan belakang. Setiap bahagian dibangunkan untu memberikan kestabilan dan karekter stereng yang lebih tepat.

Pemilik LC boleh memilih pakej tambahan Lexus Dynamic Handling, yang menggunakan Variable Gear Ratio Steering (VGRS), Active Rear Steering (ARS) dan stereng kuasa elektrik untuk meningkatkan tindak balas stereng dan rasa yang lebih terus semasa mengambil selekoh di kelajuan tinggi. Juga terdapat limited-slip differential untuk pecutan sewaktu membelok yang lebih stabil bersama Vehicle Stability Control (VSC) dan ARS untuk mengelak understeer dan oversteer.

Lexus LC 500, LC 500h didedahkan dengan terperinci

LC 500 dikuasakan oleh enjin V8 Atkinson-cycle NA 5.0 liter yang diambil daripada model GS F dan RC F. Enjin ini mempunyai teknologi VVT-i dan sistem suntikan terus D-4S, dengan penyambung rod diperkuat dan injap titanium. Untuk menyampaikan angin dengan lebih baik kepada enjin, terdapat dua saluran udara, manakala penyerap juga digunakan untuk mengurangkan bunyi dan gegaran.

Secara keseluruhan, enjin ini boleh menghasilkan 471 hp pada 7,100 rpm dan 540 Nm pada 4,800 rpm. Ini seterusnya membolehkan LC 500 memecut 0-100 km/j di bawah 5.4 saat dan kuasa tersebut disampaikan oleh kotak gear automatik 10 kelajuan dengan nisbah yang diletakkan lebih rapat.

Antara ciri baru lain pada transmisi ini adalah pengawal AI-Shift dengan penukar mod pemanduan. Ia boleh memilih nibah yang optimum bukan sahaja berdasarkan kelajuan dan penggunaan pendikit, tetapi juga berdasarkan sejarah pemanduan yang direkod. Ini membolehkan kotak gear tersebut menganggar perlakuan dan kemahuan pemandu, meskipun pemandu tidak mengusik butang pemilih mod pemanduan. Torque converter juga baru pada unit ini.

Lexus LC 500, LC 500h didedahkan dengan terperinci

Sementara itu, LC 500h pula menggunakan enjin V6 3.5 liter dengan Dual VVT-i yang dipadankan dengan sistem Multi Stage Hybrid yang terdiri daripada motor elektrik yang mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion 311 V. Transmisi yang digunakan pula adalah unit automatik empat kelajuan.

Datang standard pada semua model LC adalah Lexus Safety System + serba lengkap, termasuk Pre-Collision System dengan Pedestrian Detection, Pre-Collision Brake Assist, All-Speed Dynamic Radar Cruise Control, Lane Departure Alert dengan Steering Assist dan Vehicle Sway Warning dan Intelligent High Beam.

Lexus LC dibuat di kilang Motomachi, yang sebelum ini mengeluarkan LFA. Barisan pengeluaran telah diubah suai untuk menghasilkan LC, dan kebanyakan individu yang bekerja menghasilkan LFA, kini bertukar untuk menghasilkan LC.

GALERI: Lexus LC 500

GALERI: Lexus LC 500h

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required