Pengendali RapidKL iaitu Prasarana Malaysia Berhad telah mengeluarkan satu kenyataan maaf terbuka berkenaan insiden yang berlaku jam 8 malam semalam di Ampang. Dalam kejadian itu, sebuah bas RapidKL telah merempuh lebih 20 buah kenderaan lain sewaktu dalam kesesakan trafik dan perkara ini direkod dalam video yang tersebar dalam internet.

Ketua operasi RapidKL, Shamsul Rizal Mohd Yusof memberitahu pasukannya masih dalam proses menyiasat insiden tersebut. Beliau menambah, kejadian tersebut berlaku semasa bas berkenaan sedang beroperasi untuk laluan 221 dari Datuk Keramat ke Ampang Point. Setakat ini tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan.

“Kapten bas (pemandu) berkenaan telah berkhidmat selama dua tahun dan setakat ini mempunyai rekod yang baik. Penyebab kepada kemalangan ini masih lagi tidak diketahui, tetapi kami meminta maaf kepada orang ramai kerana menyebabkan insiden ini,” jelas Shamsul waktu sidang akhbar di Cheras. Beliau turut memberitahu pemandu bas itu sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Ampang.

“Kami akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk membantu penyiasatan,” kata Shamsul, dan beliau meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian ini. Apabila ditanya berapa ramai yang berada dalam bas ketika itu, Shamsul berkata, jumlahnya masih belum diketahui.

“Kami masih belum menerima informasi tepat, sama ada terdapat penumpang dalam bas tersebut. Kami perlu memeriksa kenderaan, tetapi setakat ini kami masih belum diberikan kebenaran untuk berbuat begitu,” tambah Shamsul. Beliau memberitahu lagi, sekiranya ada sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi hotline RapidKL (03-78852585).