Hyundai tala semula Ioniq Electric dan Veloster N untuk Optima Ultimate Street Car Invitational

Hyundai tala semula Ioniq Electric dan Veloster N untuk <em>Optima Ultimate Street Car Invitational</em>

Sempena acara tahunan “Search for the Ultimate Street Car” yang dianjurkan oleh Optima Batteries tahun ini, Hyundai Motor America bakal membawa dua buah kereta yang telah diubahsuai dan ditala semula oleh mereka sendiri. Dua buah kereta tersebut adalah hot-hatch Hyundai Veloster N, dan sebuah lagi adalah model yang hampir tidak diminati dalam dunia ubahsuai iaitu Ioniq Electric.

“Kenderaan-kenderaan ini diubahsuai dengan cara tipikal seorang peminat dunia berkenaan – tayar dan suspensi yang memberikan lebih cengkaman, kuasa dipertingkatkan, dan sebagainya; dan kemudian diuji dalam persekitaran yang mencabar. Ini adalah satu cara bagi memastikan kenderaan kami akan memenuhi jangkaan pelanggan kami,” kata Joshua Vedder, pengurus senior kumpulan di jabatan hubungan pelanggan HMA.

Hyundai Ioniq Electric berkenaan sebenarnya akan turun semula bagi mempertahankan gelaran yang diraih pada Kejohanan Nasional 2017 dalam kelas GTE baharu. Manakala untuk Veloster N pula, ini merupakan kejohanan tahunan penuh yang disertai dan mencabar pesaing lain dalam kelas GTC. Hyundai berharap kedua-dua jentera tersebut akan layak untuk Optima Ultimate Street Car Invitational dalam kelas masing-masing.

Hyundai tala semula Ioniq Electric dan Veloster N untuk <em>Optima Ultimate Street Car Invitational</em>

Veloster N berkenaan masih dijana oleh enjin asal empat silinder turbo menghasilkan 275 hp dan tork maksima 353 Nm. Enjin tersebut diberi sentuhan semula dengan talaan kotak komputer menggunakan Remus Powerizer, respon pendikit ditingkatkan dengan Responder, serta diberikan ubahsuai lain seperti ekzos cat-back aktif, sistem kemasukan udara lebih sejuk prototaip dan juga penyejuk udara kemasukan berkapasiti tinggi.

Untuk sistem brek, Veloster tersebut kini diberikan sistem untuk perlumbaan lasak Willwood Endurance Spec yang terdiri dari angkup brek Superlite (enam-omboh di hadapan, empat-omboh di belakang), cakera dengan liang lengkung GT 72, dan pelapik brek dengan kompaun B20. Kereta ini direndahkan lagi sehingga 30 mm dengan spring H&R, serta diberikan rim BBS LM-R bersaiz 19-inci dibaluti tayar Bridgestone Potenza RE-71R bersaiz 245/35R19.

Bagi memperkuatkan lagi kerangka kereta ini, ia diberikan strut brace dan sokongan tambahan pada subframe dari Pierce Motorsport, manakala sistem suspensinya pula menerima bolt untuk larasan camber hadapan serta bar anti-oleng prototaip lebih tebal dengan diameter 23 mm di hadapan, 22 mm di belakang.

Hyundai tala semula Ioniq Electric dan Veloster N untuk <em>Optima Ultimate Street Car Invitational</em>

Secara keseluruhan, rupa luaran asal Veloster N ini masih lagi standard, dan imej garangnya cuma ditambah dengan pemasangan splitter udara hadapan dan juga skirt sisi dari APR.

Pada bahagian dalaman, Veloster N tersebut diberikan pemuka digital AEM CD-5 bersama penyesuai jaringan CAN, serta data-data dapat dikumpulkan dengan pemasangan Racelogic Video VBOX HD2. Pemandu diberikan tempat duduk perlumbaan Recaro Profi SPG XL, dan diikat menggunakan tali pinggang keselamatan enam-poin Sparco Enduro, disamping dilindungi rollcage boleh alih dari Pierce Motorsport.

Beralih ke kereta lumba EV Ioniq Electric, ia kini dijana oleh motor elektrik yang lebih berkuasa diambil dari Kona Electric yang berupaya menjana 204 PS dan tork maksima 395 Nm bermula dari rpm sifar. Kuasa berkenaan jelas lebih tinggi dari Ioniq Electric standard yang hanya berkuasa 120 PS/295 Nm.

Hyundai tala semula Ioniq Electric dan Veloster N untuk <em>Optima Ultimate Street Car Invitational</em>

Kuasa yang jauh lebih besar tersebut membolehkan kereta lumba ini memecut dari 0-96 km/j (0-60 bsj) dalam masa hanya 5.8 saat, manakala pecutan dari 0-160 km/j (0-100 bsj) boleh dicapai hanya dalam masa 15.7 saat. Kelajuan maksima yang boleh dicatatkan oleh jentera elektrik ini pula adalah 185 km/j.

Kereta lumba ini juga dilengkapkan dengan penala pemetaan tork/kadar bagi memperbaiki pecutan ketika berlepas serta mengehadkan kawalan pemanduan. Sistem penyejuk untuk komponen elektronik turut dipertingkat dengan radiator yang lebih baik, pam air berkuasa elektrik, penyejuk bateri dikemaskini dengan kipas aliran udara lebh besar bersama liang khas untuk penghawa dingin, serta kondensor penghawa dingin penyejukkan cecair bagi menambahbaik penyejukkan bateri ketika kereta tidak bergerak.

Sebelum kuasa dari motor dialirkan ke roda, ia diagihkan terlebih dahulu antara kiri dan kanan menerusi LSD dari Drexler yang digandingkan dengan nisbah gear akhir 7.05. Untuk kuasa pemberhentian pula, jentera ini turut menerima set brek lebih besar dari Willwood. Ioniq Electric ini direndahkan lagi dengan spring baharu, dan ia turut menerima set rim lengkap Rays Engineering TE37.

GALERI: Hyundai Veloster N 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required