VIDEO: Bartosz Ostałowski – Drifter professional Poland tanpa tangan dengan Nissan Skyline R34 V8

Jika anda suka kereta, anda tentu biasa tonton video on-board sebuah kereta drift bukan? Drift bukan satu sukan yang mudah di mana kedua-dua tangan dan kaki anda perlu ‘hidup’ persis seorang pemain dram bagi menggerak segala kawalan dalam kokpit, misalnya stereng, tombol gear dan brek tangan, manakala kaki kadang kala perlu menekan pedal pendikit dan brek serentak untuk memindahkan beban kehadapan, atau melakukan aksi heel and toe ketika menurunkan gear dengan agresif.

Namun, dengan setiap anggota badan yang lengkap, bukan syarat untuk seseorang itu boleh menjadi seorang drifter yang baik. Ini dibuktikan Bartosz Ostalowski dari Poland yang tidak mempunyai kedua-dua belah tangan – beliau bukan sekadar drifter ‘suka-suka’ yang bertanding pada perlumbaan kecil-kecilan tempatan, sebaliknya sudah berada pada tahap profesional dan kini menyertai pelbagai kejohanan Drift seperti Kejuaraan Drift Poland, Kejuaraan Drift Eropah dan juga Liga Drift Eropah!

Ostalowski dilahirkan sempurna, tetapi nasib malang menimpanya apabila dia hilang kedua-dua belah tangan dalam satu kemalangan motosikal ketika berumur 20 tahun. Namun atas minat yang sangat mendalam dalam sukan drift, dia sentiasa mencari jalan agar dapat beraksi walaupun hanya menggunakan kedua-dua belah kaki sahaja.

VIDEO: Bartosz Ostałowski – Drifter professional Poland tanpa tangan dengan Nissan Skyline R34 V8

Sebuah Nissan Skyline R34 dipilih oleh Ostalowski untuk beraksi. Tiada lagi bunyi enjin enam-silinder dari siri RB keluar dari R34 tersebut sebaliknya ia menghasilkan ngauman ganas sebuah American Muscle selepas digantikan dengan enjin V8 LS3 dari General Motors. Enjin berkenaan dipertingkatkan lagi dengan kit bagi menjadikan sesarannya kini 7.0 liter, menjana sejumlah 600 hp.

Bagi mengalirkan kuasa ke gandar belakang, kereta ini dilengkapi dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF, diambil dari kereta mewah Rolls Royce Ghost. Kotak gear tersebut bukan sahaja membolehkan ia menerima tujahan sehingga 1,000 Nm, tetapi sistem kawalan elektroniknya yang direka khas oleh Turbo Lamik adalah kunci untuk Ostalowski beraksi dengan lebih lancar.

Menerusi sistem tersebut, kotak gear ZF berkenaan boleh dioperasikan secara manual, di mana pedal penukar gear diletakkan pada sebelah kanan pemandu bagi membolehkan Ostalowski menaikkan atau menurunkan gear dengan menggunakan bahu. Kawalan elektronik tersebut turut membolehkan tork diputuskan sementara ketika pemandunya menggunakan brek tangan – yang diubahsuai bagi membolehkan Ostalowski ‘menarik’ brek tersebut dengan menekan pedal yang terletak di sebelah kanan pedal pendikit.

Menurut Ostalowski, kereta ini akan sentiasa ditingkat taraf seiring dengan pembangunan kemahiran memandunya. Selepas ini, pasukannya akan cuba untuk menghasilkan sistem yang akan beroperasi seolah-olah pemandunya sedang melakukan aksi ‘clucth kick‘ dengan hanya menekan butang, dan memikirkan cara bagaimana untuk membolehkan Osta?owski melakukan aksi yang menyamai teknik left foot braking.

“Ini merupakan [drift] minat saya yang sangat besar dan saya sangat sukakannya. Saya sentiasa ternanti-nanti sesi-sesi latihan dan pertandingan saya yang seterusnya. Saya perlu sentiasa menjadi lebih baik,” kata Ostalowski pada akhir video oleh Hoonigan ini, menggambarkan betapa cintanya dia terhadap sukan drift tersebut.

Kita di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Anda kenal Pak Busu? Pak Busu adalah seorang drifter dan juga mekanik OKU dari Melaka yang sentiasa mewarnai pertandingan-pertandingan drift di Malaysia, beraksi dengan Toyota Corolla KE70 dijana enjin 2.0 liter turbo SR20DET dari Nissan Silvia yang diubahsuainya sendiri.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required