Kredit gambar: Adam Photography

Bagi peminat sukan drift tempatan, nama Pak Busu mungkin agak biasa didengar. Namun untuk anda yang masih lagi belum mengenali, Pak Busu merupakan satu-satunya drifter dengan kelainan upaya (OKU) berasal dari Melaka, dan terkenal dengan aksi drift yang agak agresif.

Pak Busu atau nama sebenarnya Halizamri Haji Mustapa merupakan anak kepada seorang pengajar seni mempertahankan diri tempatan. Bukan sekadar aktif dalam lapangan sukan drift, malah dia sebenarnya seorang mekanik bertauliah dan mempunyai bengkel sendiri yang terletak Batu Hampar, Melaka.

Selain mengusahakan bengkel, Pak Busu turut mempunyai gerai di pasar malam sekitar untuk menjual petai bagi menyara empat orang ahli keluarganya.

Pak Busu mula berminat dalam drifting apabila sukan ini menjadi fenomena kira-kira 10 tahun lalu. “Saya dilahirkan tidak sempurna, tapi ini merupakan sesuatu yang perlu saya lakukan,” jelas Pak Busu.

Kredit gambar: Adam Photography

Sifatnya lebih suka tidak bergantung dan keazamannya yang tinggi secara tidak langsung menjadikan drift bukan sekadar hobi atau minat, di mana drift telah membawa Pak Busu kearah hidup yang lebih aktif, dan membuktikan tiada apa yang boleh menghalangnya dari menjalani kehidupan normal.

Bagi mereka yang mahu menyaksikan aksi Pak Busu, pastikan anda datang ke Malaysia Speed Festival (MSF) Finale 2017 yang akan berlangsung pada 2-3 Disember ini. Pak Busu telah mengesahkan penyertaannya dalam kategori Street dan akan memandu Toyota Corolla GL KE70 yang diubahsuai sendiri olehnya.

Jentera KE70 Pak Busu ini juga bukan kereta biasa dimana enjin 1.3L 4K asal telah digantikan dengan enjin Nissan SR20DET 2.0 liter turbo digandingkan bersama kotak gear lima-kelajuan manual, bersama nisbah akhir yang agak tinggi iaitu 4.7:1. Kereta berkenaan juga turut menerima suspensi yang diambil dari Nissan Silvia S13, bersama nisbah stereng yang diubahsuai bagi mendapatkan sudut drift yang lebih besar.

Kesemua ubahsuai ini juga ditala dan dilaras bagi disesuaikan untuk gaya pemanduan Pak Busu, dimana ia melibatkan pelbagai kerja dan juga proses kimpalan yang serius – sesuatu yang sangat dibanggakan olehnya sendiri. “Kesemua modifikasi ini saya lakukan sendiri, dengan pertolongan berberapa rakan baik,” jelas Pak Busu.

Pak Busu akan mengambil bahagian dalam MSF Drift Gonzo – iaitu pertandingan yang mensasarkan gaya drift pada MSF Finale 2017 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang 2-3 Disember ini.

MSF Drift Gonzo akan diadakan pada 2 Disember (Sabtu) dan ia adalah prebiu sebelum diadakan sebagai musim penuh pada 2018. Bagi mereka yang berminat untuk mengambil bahagian dalam acara ini, anda boleh mendaftar dan membayar secara atas talian di laman web MSF. Yuran RM220 untuk setiap pemandu akan dikenakan untuk pendaftaran terawal.

Tiket masuk untuk hari Sabtu adalah RM10 untuk dewasa dan dari RM20 untuk dewasa pada hari Ahad, untuk pembeli awal. Anda juga boleh mendapatkan tiket di SIC pada hari berkenaan. Kanak-kanak berumur 15 tahun kebawah pula tidak akan dikenakan sebarang bayaran. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi serta Facebook MSF Racing.