Peugeot 508, 508 SW Hybrid dan 3008 GT Hybrid4 diperkenalkan – 1.6L PHEV, sehingga 300 hp

Peugeot 508, 508 SW Hybrid dan 3008 GT Hybrid4 diperkenalkan – 1.6L PHEV, sehingga 300 hp

Sejurus selepas mengumumkan rancangan elektrifikasi, Peugeot telah mendedahkan tiga model plug-in hybrid baharu – Peugeot 508 dan 508 SW Hybrid, serta 3008 GT Hybrid4. Trio ini akan memasuki pasaran terpilih menjelang suku kedua 2019.

Bagi 508, kuasanya dihasilkan dari enjin 1.6 liter PureTech petrol empat-silinder dengan hamburan 180 hp, dan dipadankan bersama motor elektrik 80 kW (110 hp) sekaligus menawarkan output kombinasi sebanyak 225 hp. Ia turut dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion 11.8 kWh 300 voltan untuk pacuan semua-elektrik dalam 50 km (kitaran NEDC).

Bateri ini terletak di bawah lantai bahagian tempat duduk belakang, manakala ruang but bagi 508 mampu mencecah 487 liter, 530 liter untuk 508 SW. Tiada angka penggunaan bahan api yang diberikan, tetapi Peugeot mensasarkan 2.0 liter per 100 km. Manakala emisi bagi CO2 pula sekitar 49g/km.

Enjin ini juga bekerjasama dengan transmisi automatik lapan-kelajuan e-EATs yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Ia tidak lagi menggunakan unit torque converter, sebaliknya ditukarkan dengan klac pelbagai-cakera spesifik0hibrid, di mana Peugeot berkata ia menawarkan peningkatan tork sebanyak 60 Nm dan menambahkan kereaktifan.

Seterusnya, 3008 GT Hybrid4 pula menerima sistem plug-in hybrid yang lebih termaju, menampilkan senibina elektrikal yang sama dnegan 508 tetapi dipadankan dengan motor elektrik kedua (juga 80 kW) yang dipasang pada gandar belakang. Enjin petrol ini ditala untuk mendapatkan hamburan kuasa 200 hp. Kombinasi ini turut membuatkan sistem tersebut mampu melonjak sehingga 300 hp, pacuan dari sifar ke 100 km/j dalam 6.5 saat. Varian petrol standard 3008 hanya sekitar 8.9 saat dalam pacuan yang sama.

Di bawah tempat duduk penumpang belakang ditempatkan bateri lithium-ion berkapasiti besar 13.2 kWh (juga 300 voltan), yang menawarkan jarak pacuan elektrik sehingga 60 km (kitaran NEDC). Peugeot berkata mod pacuan empat-roda turut menambahkan cengkaman dalam keadaan jalan basah, berlumpur, bersalji atau winding road, dan ini dicapai oleh kuasa yang disalurkan ke setiap roda. Manakala emisi CO2 pula masih sama iaitu 49 g/km.

Bagi angka prestasi, kedua-dua sistem hibrid dan Hybrid4 berkeupayaan dipacu dalam mod elektrik asli sehingga 135 km/j, dan baterinya boleh dicas penuh (menggunakan penyambung Type 2) dalam tujuh jam menerusi soket domestik Eropah.

Pengecasan menerusi soket 3.3 kW 14 A pula membantu mengurangkan masa ke empat jam, sementara dengan pengecas wallbox 6.6 kW 32 A pula lebih singkat iaitu di bawah sejam 45 minit.

Semua varian plug-in hybrid turut menampilkan sistem brek i-Booster untuk memulih tenaga semasa brek atau nyahpecutan. Ia didatangkan dengan pam elektrik di tempat pam vakum pada model bukan hibrid.

Di dalamnya, bahagian kabin turut menampilkan instrumen yang dipertingkatkan termasyk meter kuasa, yang menggantikan takometer dan paparan pacuan hibrid. Begitu juga dengan paparan infotainmen tengah yang turut dipertingkatkan dengan disambungkan pada menu hibrid spesifik untuk data pemanduan yang lebih terperinci. Sementara aplikasi MyPeugeot juga mampu mengaktifkan pengecasan kawalan, status pengecasan, penyaman pra-termal atau penggunaan bahan api.

508 Hybrid dan 508 SW Hybrid ditawarkan dengan empat varian– Allure, Allure Business, GT Line dan GT. Di mana varian tertinggi GT menambah beberapa lagi ciri termasuk Greval Grey Alcantara upholstery.

Bagi 3008 GT Hybrid4 pula, ia hanya ditawarkan dengan kemasan GT bersama material Greval Grey Alcantara. Ia juga dilengkapi dengan kawalan kelajuan adaptif bersama fungsi Stop & Go serta bantuan kekal lorong. Varian 3008 Hybrid talaan lebih rendah (pacuan-hadapan, 225 hp) juga bakal menyertai barisan ini, namun tidak dimaklumkan bila.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required