Jentera lumba Audi R8 LMS telah diberi peningkatan bagi musim perlumbaan 2019 – dari sudut aerodinamik serta penyejukan brek, klac dan transmisi.

“Kami memilih untuk melakukan modifikasi yang sederhana sahaja bagi model berkenaan berbanding menjalankan perubahan yang menyeluruh. Ini lebih ekonomikal kepada pelanggan baru dan juga pasukan yang boleh melakukan peningkatan ini terhadap jentera sedia ada mereka,” jelas Ketua bahagian pelanggan perlumbaan Audi Sport, Chris Reinke.

Bagi mereka yang mempunyai jentera generasi kedua R8 LMS, peningkatan dan modifikasi terbaru ini akan menelan belanja 28,000 Euro (RM133,813). Selain itu, sekiranya pelanggan ingin mengikuti perlumbaan GT3 (atau yang setaraf dengannya) untuk kali pertama, R8 LMS 2019 baru akan dijual pada harga 398,000 Euro (RM1,904,955), dengan serahan dijangka pada November nanti.

Bagi aspek aerodinamik, jentera baru ini hadir dengan badan dan splitter depan yang dimodifikasi, yang memberikan downforce yang menepati peraturan FIA. Sisi aerodinamik ini juga disumbangkan oleh talaan suspensi yang akan digunakan oleh setiap pasukan.

Begitu juga dengan penyejukan brek, matlamat utamanya adalah untuk menjadikan faktor berkenaan konsisten, dengan cara memperbaiki aliran udara kepada sistem brek berkenaan agar ia lebih cekap membebaskan udara panas dari situ. Ini adalah untuk mengelak ia menjadi terlebih panas, dan mencapai tahap tekanan tayar yang lebih konsisten.

Selebihnya, klac tiga plat yang digunakan kini menerima penambahbaikan dari sudut kehausan komponen. Transmisi enam-kelajuannya juga menerima rekaan gigi gear dan bearing yang diperkukuh untuk tahan lebih lama, serta pengurangan geseran pada locking differential.

Enjin kekal sama; 5.2 liter V10 dengan 577 hp kuasa dan 550 Nm tork. Mengikuti standard perlumbaan, servis berjadualnya tetap pada setiap 10,000 km dan selang pembinaan semula jentera ialah pada setiap 20,000 km.