VinFast LUX A2.0 sedan dan LUX SA2.0 SUV – jenama Vietnam berasaskan model BMW muncul di Paris

VinFast LUX A2.0 sedan dan LUX SA2.0 SUV – jenama Vietnam berasaskan model BMW muncul di Paris

Akhirnya dua buah model keluaran jenama automotif Vietnam –VinFast– membuat kemunculan sulung pertama ketika berlangsungnya Paris Motor Show. Pendedahan berkenaan turut mengumumkan nama rasmi untuk kedua-dua model iaitu VinFast LUX A2.0 untuk sedan dan Vinfast LUX SA2.0 bagi versi SUV. Majlis tersebut turut menampilkan lagenda bola sepak England David Beckham, manakala penghantaran kepada pelanggan-pelanggan akan bermula Jun 2019 dan eksportnya akan bermula pada 2020.

Menurut VinFast, nama LUX berkenaan merujuk kepada “premium dan kualiti sofistikated” kereta-kereta tersebut, dan ‘A’ pula adalah untuk Ambition (cita-cita) yang mewakili “kualiti produk dengan standard kualiti sangat tinggi” di mana VinFast mensasarkan untuk menjadi peneraju jenama autmotif di Asia Tenggara, dan berkembang untuk menjadi jenama automotif global. Manakala ‘S’ pada LUX SA2.0 pula bermaksud SUV.

Nama-nama ini dihasilkan dengan pendek, mudah untuk dibaca, senang untuk diingat serta sesuai untuk kebanyakkan bahasa di dunia. Selepas LUX, VinFast turut akan memperkenalkan model-model dengan nama lain yang mewakili kelas mereka dalam pasaran kenderaan.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kedua-dua model baharu berkenaan dihasilkan dari platform BMW. Untuk sedan LUX A2.0, ia diasaskan dari BMW 5 Series generasi F10, dan ia direka dengan sentuhan Pininfarina – menampilkan stance yang dinamik serta menggabungkan permukaan badan yang beralun. Secara keseluruhan, kereta ini dibina dengan dimensi 4,973 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,464 mm tinggi dan jarak roda 2,968 mm.

VinFast LUX A2.0 sedan dan LUX SA2.0 SUV – jenama Vietnam berasaskan model BMW muncul di Paris

Seperti BMW, sedan ini diberikan bonet hadapan yang panjang bagi memberikan sentuhan sporty, manakala mukanya pula dilengkapkan dengan lampu nyalaan siang LED tirus. Sekali pandang, gril utama kereta ini seolah-olah memaparkan abjad ‘VF’ atau VinFast, manakala pada bahagian tengah diberikan logo ‘V’ bersaiz kecil, dan ia seakan bersambung dengan garis pada bonet hadapan.

Rekaan muka tersebut turut diterapkan pada bahagian belakang di mana sedan tersebut menerima unit lampu yang tirus, dan berhubung antara kedua-dua sisi merentangi penutup bonet belakang, dan logo ‘V’ diletakkan pada bahagian tengah. Liang udara turut diberikan pada bampar belakang yang kelihatan seperti bersambung dengan reflektor, manakala pada bahagian bawah diberikan dua tip ekzos bersegi.

Bagi model SUV LUX SA2.0 pula, ia dibina menggunakan platform BMW X5 F15. Walau bagaimanapun, ia dihasilkan dengan dimensi 4,940 mm panjang, 1,960 lebar, 1,773 mm tinggi dan juga jarak roda 2,933 mm – jelas lebih besar dari X5.

LUX SA2.0 turut menerima muka yang seiras dengan versi sedan, menampilkan rekaan lampu dan gril yang sama. Walau bagaimanapun, model lebih lasak ini diberikan kemasan hitam matte pada lampu utama, lampu kabus dan liang udara bagi “menaikkan deria yang kukuh dan berstruktur”, menurut VinFast.

VinFast LUX A2.0 sedan dan LUX SA2.0 SUV – jenama Vietnam berasaskan model BMW muncul di Paris

Walaupun model ini menerima rupa yang begitu sporty dengan menampilkan cermin hadapan dan belakang yang kecil, ia sebenarnya adalah SUV dengan tiga baris tempat duduk, membolehkan ia memuatkan tujuh-penumpang dan bukan model dengan hanya lima-tempat duduk. Kemasan pada tiang-D SUV ini juga memberikan imej yang lebih lincah, dan tidak menampakkan ia terlalu besar.

Bahagian belakang SUV ini juga masih menerapkan rekaan sama, dengan lampu tirus, bersama grafik blok LED didalamnya. Ciri lain yang turut ditampilkan pada bahagian ini adalah kemasan hitam matte pada bahagian bawah bampar, diffuser berwarna perak dan juga tip ekzos heksagon.

Masuk ke kabin pula, pemandu akan menerima roda stereng tiga jejari balutan kulit, pedal penukar gear dan juga paparan meter analog bersama paparan pelbagai info digital tujuh-inci pada bahagian tengah, Di pusat papan pemuka pula diletakkan skrin infotaimen bersaiz 10.4 seperti tablet.

Skrin tersebut menampilkan sistem yang baharu direka, dan turut memaparkan status sistem penghawa dingin, sub-menu untuk telefon, audio dan sistem navigasi serta gestur gelangsar untuk shortcut sama seperti telefon pintar.

Selain dari lampu suasana LED dalam ruang dalaman kereta-kereta tersebut, VinFast juga menggunakan bahan-bahan asli untuk kemasan bahagian berkenaan. Menurut jenama berkenaan, sekiranya anda lihat satu-satu panel itu seperti aluminium, ia adalah aluminum, dan jika anda lihat ia seperti kayu, ia adalah kayu. Kesemua material berkenaan hanya dibekalkan oleh satu syarikat iaitu Faurecia bagi memastikan aspek konsisten dan kualiti.

Angka ‘2.0’ pada kedua-dua model ini adalah merujuk kepada kapasti enjinnya. Model-model tersebut menerima enjin petrol BMW N20 2.0 liter empat-silinder yang disuap oleh pengecas turbo twin-scroll bersama sistem injap bervariasi. Enjin berkenaan dihasilkan dengan dua talaan iaitu versi berkuasa 176 PS pada takat 4,500 rpm hingga 6,000 rpm/tork maksima 300 Nm bermula 1,750 hingga 4,000 rpm dan juga versi 231 PS pada takat 5,000 hingga 6,000 rpm/tork maksima 350 Nm bermula 1,750 hingga 4,500 rpm.

Model LUX A2.0 sedan ditawarkan dengan kedua-dua versi enjin tersebut, manakala model SUV LUX A2.0 hanya diberikan enjin berkuasa 231 PS. Kedua-duanya jenis enjin tersebut digandingkan dengan hanya satu jenis kotak iaitu lapan-kelajuan automatik dari ZF, yang menampilkan perubahan pada bell housing dan crankcase. Model sedan hanya dipacu roda belakang, manakala model SUV diberi pilihan sistem pacuan semua roda yang diaktifkan dengan torque tranfer case dari BorgWarner.

Kesemua sistem mekanikal tersebut membolehkan sedan berkuasa 176 PS memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.9 saat, manakala model berkuasa 231 PS memecut dalam jarak sama dengan masa 7.1 saat. SUV versi pacuan belakang pula dapat mencapai pecutan tersebut dalam masa 8.9 saat, berbanding model AWD yang lebih berat dengan masa 9.1 saat. Kereta-kereta keluaran VinFast ini memenuhi standard emisi Euro 5 walaupun pasaran Vietnam hanya menetapkan standard pada tahap Euro 4.

Enjin BMW yang menjana kereta-kereta Vietnam ini sebenarnya telah diolah semula oleh AVL iaitu firma kejuruteraan dari Australia dengan menerapkan teknologi digelar AVL-Drive. Talaan yang diberikan adalah kearah kereta-kereta Eropah, memberikan respon yang lancar dan berkuasa tanpa perlu menurunkan gear untuk memecut.

Untuk platform pula, 400 jurutera dari Magna Steyr iaitu konsultan kejuruteraan dari Austria ditugaskan bagi membangunkan sistem kenderaan baharu, termasuk sistem-sistem komputer baharu dari Bosch. Kerangka berkenaan dihasilkan menerusi penggunaan logam berketegaran sangat tinggi yang dicetak-panas. 300 prototaip telah diuji semasa pembangunan kereta ini di Vietnam dan di Eropah.

Kedua-dua kereta juga direka dengan struktur monocoque ultra-tegar. Setiap struktur telah hasilkan bagi mempunyai frekuensi semula jadi yang tinggi, bagi memberikan rintangan terhadap getaran dan direka untuk menangani daya membengkok dan torsi. Hasilnya, ia memberikan lebih kawalan terhadap dinamik kenderaan dan VinFast mendakwa ia akan menawarkan kualiti pemanduan dan diperhalusi pada tahap kereta Eropah.

Untuk suspensi pula, kedua-dua model menampilkan sistem double wishbone di hadapan, bersama lengan bawah dua-paksi, shock tower aluminium dan juga spring gegelung. Di bahagian belakang, sistem multilink dengn lima hubungan diberikan bersama rod track dan juga bar anti-oleng berbentuk tiub.

Bagi keselamatan pula, model-model berkenaan menampilkan sel penumpang yang kuat dan teguh, memberikan perlindungan yang baik ketika perlanggaran berlaku. Enam beg udara didatangkan secara standard (dua hadapan, sisi dan tirai) untuk semua model, bersama sistem Active Rollover Mitigation.

VinFast LUX A2.0 dan LUX SA2.0 akan diproduksi di kilang jenama berkenaan yang terletak di Haiphong, Utara Vietnam dengan keluasan 335-hektar. Ia merupakan antara projek industri terbesar Vietnam, dan ia juga didakwa sebagai antara kompleks produksi paling canggih di dunia.

Selain dari dua model mewah ini, Vinfast turut akan menghasilkan kereta bandar berasaskan Chevrolet Spark, kereta elektrik sepenuhnya dibangunkan oleh EDAG, dan juga bas elektrik dengan sokongan dari Siemens. Kesemua ini akan muncul pada tahun 2020 kelak.

GALERI: VinFast LUX A2.0

GALERI: VinFast LUX SA2.0

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required