VinFast – jenama dari Vietnam dedahkan rekaan sedan dan SUV, bakal diperkenalkan di Paris bulan hadapan

VinFast – jenama dari Vietnam dedahkan rekaan sedan dan SUV, bakal diperkenalkan di Paris bulan hadapan

Jenama automotif dari Vietnam, VinFast akhirnya mendedahkan sebahagian rupa model sedan dan SUV konsep mereka yang hampir ke versi produksi sebenar, sebelum kedua-duanya membuat penampilan penuh di Paris Motor Show bulan hadapan.

Seperti yang diketahui sebelum ini, sedan dan SUV berkenaan mendapat sentuhan dari firma rekaan Itali, Pininfarina bagi menjelmakan rupanya. Kali ini didedahkan bahawa syarikat tersebut menggunakan platform asas, enjin dan transmisi dari Jerman iaitu BMW.

Untuk model sedan, ia dibina dari kerangka asas BMW 5 Series generasi F10, manakala untuk SUV pula dihasilkan dari model BMW X5 generasi F15. Kedua-duanya akan dikuasakan enjin petrol 2.0 liter empat silinder turbo dari generasi N20 terdahulu, ditala bagi memberikan kuasa 174 hp dan 228 hp. Ia digandingkan dengan kotak gear ZF lapan-kelajuan untuk memacu roda belakang, sementara SUV turut akan ditawarkan dengan opsyen pacuan semua roda.

VinFast – jenama dari Vietnam dedahkan rekaan sedan dan SUV, bakal diperkenalkan di Paris bulan hadapan

Oleh itu, bentuk badan model-model ini turut kelihatan seperti BMW, menampilkan bonet hadapan dan juga jarak roda yang panjang. Versi sedan direka dengan bahagian belakang yang pendek serta garis melintang bagi membayangkan sifat “simetri, sofistikated dan kecantikan yang elegen”, manakala SUV pula diberikan bonet yang lebih garang dan berotot bagi memberikan rupa yang lebih sporty.

Rekaan untuk kedua-dua model pertama dari VinFast ini dipilih sendiri oleh 62,000 ribu orang rakyat Vietnam yang menyertai undian, dan mereka perlu memilih antara 20 lakaran yang disediakan oleh firma-firma seperti Pininfarina, Italdesign, Touring Superleggera dan Zagato. Akhirnya rekaan dari Italdesign diisytiharkan pemenang, dan ia kemudian diperhalusi oleh Pininfarina dan dihasilkan dalam bentuk model tanah liat bantuan rekaan terbantu komputer 3D (CAD) di Itali, dan akhirnya didedahkan setahun setelah undian berkenaan tamat.

VinFast – jenama dari Vietnam dedahkan rekaan sedan dan SUV, bakal diperkenalkan di Paris bulan hadapan

Kedua-dua model VinFast rekaan Pininfarina ini diberikan lampu nyalaan siang LED yang tirus pada bahagian atas manakala lampu utama diletakkan pada bahagian bampar – seperti konsep yang diterapkan oleh Hyundai Kona. Model-model ini turut diberikan gril utama berbentuk heksagon, dan logo ‘V’ diletakkan pada bahagian tengah. Jika perasan, bentuk abjad ‘F’ turut diberikan disebelah logo utama, bagi melengkapkan sebutan ‘VinFast’ pada mukanya.

Rekaan dengan konsep sama diteruskan pada bahagian belakang, dimana ia diberikan lampu belakang LED dengan rekaan tirus, dihubungkan kedua-dua belah dengan kemasan pada pintu tailgate, bersama logo ‘V’ diberikan pada bahagian tengah.

Selepas muncul di Paris nanti, kereta-kereta berkenaan akan diperkenalkan di Vietnam pada penghujung tahun ini, manakala penghantaran kepada pembeli pertama akan bermula pada September tahun hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required