Vinfast, pengeluar automotif dari Vietnam telah melantik firma rekaan Pininfarina (popular kerana menghasilkan sebahagian rekaan-rekaan Ferrari) untuk menghasilkan model-model SUV dan sedan nasional pertama negara berkenaan. Keputusan tersebut diambil berdasarkan 20 konsep rekaan yang telah dihantar dari syarikat rekaan tersebut yang memenangi hati sebahagian besar rakyat Vietnam.

Proses perlantikan Pininfarina ini agak telus setelah Vinfast mendedahkan sendiri rekaan-rekaan berkenaan untuk diundi oleh pelanggan – rekaan mana “yang seiring dengan trend dunia” dan turut menerapkan “citarasa dan permintaan rakyat Vietnam”. Hampir 62,000 orang yang telah mengambil bahagian dalam undian ini, dan rekaan-rekaan SUV serta sedan dari Pininfarina menerima undian terbanyak.

“Penglibatan terus Pininfarina, salah sebuah jenama rekaan terbesar dunia, dijangka akan membawa kecantikan moden dalam masa yang sama mengekalkan identiti Vietnam untuk dua model pertama kereta Vinfast,” kata Quang Viet Nguyen, naib presiden Vingroup – syarikat peneraju pembangunan hartanah di negara berkenaan.

Vinfast berharap mereka akan menjadi pengeluar kereta terulung di ASEAN, dengan penghasilan 500,000 buah kenderaan setahun menjelang tahun 2025. Syarikat berkenaan juga menjangkakan mereka akan menghasilkan 100,000 hingga 200,000 kenderaan setahun pada fasa pertama, dengan barisan model termasuk sedan, SUV tujuh-tempat duduk, dan motorsikal elektrik. Vinfast juga mensasarkan untuk melancarkan kereta pertama mereka pada September 2019.

Bagi mempercepatkan pertumbuhan mereka, Vinfast bercadang untuk membeli blueprint enjin dan sistem mekanikal utama dari pereka-pereka utama Eropah dan Amerika. Vingroup turut melantik James B. DeLuca, bekas naib presiden eksekutif General Motors, sebagai pengurus besarnya. Deluca bakal mengetuai pembinaan, operasi dan juga pembangunan model-model sedan dan SUV jenama dari Vietnam ini.