Selepas menyiarkan teaser tempoh hari, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) kini telah mengumumkan bahawa SUV segmen-C Hyundai Tucson facelift bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia menjelang akhir bulan ini. Model berkenaan akan ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.6 liter Turbo dan juga 2.0 liter Elegance, dan dijangka bakal dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insuran bermula RM123,888 bersama waranti lima-tahun/300,000 km dan servis percuma tiga-tahun/50,000 km.

Bagi model facelift ini, Tucson menerima bampar baharu dan juga lampu hadapan LED yang direka semula. Gril ‘cascading’ pada SUV ini juga ditukar kepada unit yang lebih bersegi, lampu belakang disentuh semula dengan bentuk dan grafik yang sedikit berbeza serta rim bersaiz 17-inci – setiap ciri ini adalah bergantung pada varian.

Pada bahagian dalaman pula, model ini diberi perubahan pada bahagian papan pemuka, di mana ia kini diberikan skrin infotaimen bersaiz tujuh-inci dan liang penghawa dingin baharu. Namun, bahagian bawah papan pemuka ini masih kelihatan sama.

Dari segi mekanikal, tiada perubahan ditampilkan. Model NA dengan enjin 2.0 liter Nu MPi mampu menghasilkan kuasa 155 PS dan tork maksima 192 Nm, digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik. Manakala versi turbo, ia dikuasakan dengan enjin 1.6 liter T-GDI yang mampu menjana 177 PS dan tork maksima 265 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik klac berkembar tujuh-kelajuan.

GALERI: Hyundai Tucson facelift pasaran Eropah