Semua operasi mengunci tayar kenderaan (clamping) di sekitar bandaraya akan digantung sepenuhnya mulai bulan November ini, atas arahan datuk bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan. Sumber dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberitahu The Star, satu mesyuarat telah dilangsungkan antara pengarah eksekutif DBKL (perancangan) Datuk Mahadi Che Ngah bersama pengawai kanan dari jabatan undang-undang dan kewangan serta operator parkir.

Ini merupakan kali kedua DBKL mahu menggantung operasi mengunci tayar, yang pertamanya telah dilaksanakan pada Mei lalu, atas arahan bekas datuk bandar KL terdahulu, Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz, atas permintaan Ahli Parlimen (MP) KL. Walau bagaimana pun, penggantungan tersebut ditarik balik di luar kawasan panas di sekitar bandaraya.

Menurut sumber, datuk bandar membuat keputusan selepas menyaksikan satu insiden perbalahan antara pemilik kenderaan dan pegawai DBKL di Taman Tun Dr. Ismail baru-baru ini. Di mana pegawai terbabit dimarahi teruk oleh pemilik kenderaan terbabit.

“Datuk bandar berkata beliau yang terasa dimarahi residen terbabit, dan kejadian ini membuatkan imej DBKL tercalar, lantas beliau memutuskan untuk menggantung operasi mengunci berkenaan,” ujar sumber terbabit.

Walau bagaimana pun, ketika dihubungi untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini, Mahadi tidak memberikan sebarang pengesahan, sebaliknya berkata ada perbincangan mengenainya dan ia belum dimuktamadkan.