Kita di Malaysia mungkin banyak merungut dengan undang-undang tempatan yang kadang-kala kita sifatkan seperti tidak masuk akal, misalnya disaman hanya kerana menukar ekzos. Tapi adakah benda-benda yang kita rasa tidak logik ini hanya berlaku di negara kita? Ok, hari ini kita cerita sedikit apa yang berlaku di Australia.

Menurut undang-undang baharu yang ditetapkan oleh Biro Standard Pengiklanan Australia, iklan-iklan baharu yang ditayangkan di televisyen negara berkenaan kini tidak dibenarkan untuk memaparkan aksi-aksi seperti drift, melompat, atau apa-apa sahaja aksi yang boleh ditafsirkan sebagai ‘pemanduan secara melulu’. Dan setakat ini peraturan berkenaan telah pun menjejaskan iklan untuk dua buah model trak pikap iaitu Ford Ranger Raptor dan Volkswagen Amarok V6.

Laporan CarAdvice menyebut, iklan Ranger Raptor disifatkan biro berkenaan sebagai “menggambarkan pemanduan yang tidak selamat” dan mempunyai amalan yang “semberono”. Mereka juga menerima aduan bahawa iklan tersebut “pastinya bukan contoh yang boleh dibuat untuk menggambarkan pecutan yang sangat laju di dalam gudang”, dengan hujah “pemanduan jenis ini adalah sangat bahaya dan tak sepatutnya ditayangkan di iklan tv.”

Ford pula membidas semula kritikan berkenaan dengan mengatakan bahawa penggambaran iklan tersebut dilakukan di kawasan persendirian tanpa adanya kehadiran pejalan kaki mahupun pengguna jalan yang lain. Iklan itu turut jelas memaparkan bahawa pemandu tersebut memakai helmet, dan penafian sudah ditayangkan pada skrin sebaik sahaja iklan tersebut bermula.

Walau apa pun alasan, iklan Ford berkenaan sudahpun diharamkan dari ditayangkan di televisyen Australia, dan mereka terpaksa memotong ‘adegan yang tidak sepatutnya’ itu bagi memenuhi kriteria yag ditetapkan biro tersebut.

Kes yang hampir sama juga telah melibatkan iklan Volkswagen Amarok V6, malah ia telah diharamkan lebih awal dari Ranger Raptor. Apa yang menarik, VW telah mengolah semula iklan berkenaan, bukan sahaja bagi memenuhi peraturan yang ditetapkan, malah turut sempat untuk ‘menyindir’ undang-undang tersebut dengan video iklan yang diberi nama “Terlalu berkuasa untuk TV.”

Jalan cerita untuk video terbaharu itu masih lagi sama dengan sebelumnya, namun babak-babak seperti melompat, memanjat bukit dengan laju sambil mengelak batu-batu besar, dan memotong dua buah lori besar dengan menggunakan jalan yang tidak berturap dilakukan dengan hanya menggunakan model skala dan juga gambar illustrasi seperti story board.