Bagi yang berkunjung ke Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 dan singgah di kawasan pameran motosikal Benelli, anda pasti ada terlihat sebuah kapcai mantap yang diletakkan di tengah. Ini sebenarnya bukanlah model produksi yang dijual kepada umum, tetapi hanya sebuah konsep ubah suai yang menggunakan RFS150iLE sebagai asas.

RFS150iLE adalah sebuah model edisi terhad, yang dilancarkan pada Oktober lalu dengan harga jualan RM7,488, dan beza paling jelas jika dibandingkan dengan model standard adalah ia menggunakan grafik Tri-colore berwarna seperti bendera Itali dan dilengkapi dengan beberapa aksesori seperti tuil brek dan klac sports aluminium, serta suspensi monoshock belakang Kayaba dengan spring berwarna kuning

Untuk model konsep ini pula, ia diubah suai lagi untuk menjadi lebih mantap. Anda boleh melihat tayarnya kini lebih besar, atau lebih tepat, bersaiz 180/55 di belakang, dan 120/70 di hadapan. Rim pula adalah bersaiz 17 inci.

Dari pemerhatian kami, banyak bahagian ubah suai model ini diambil daripada model naked Benelli 899, dan ini termasuk lengan ayun (binaan besi bulat dan tertulis TNT) dan rim. Penghadang lumpur depan pula kelihatan seperti daripada model TRE1130K manakala ekzos daripada model sport 302R.

Selain daripada itu, motosikal ini juga menggunakan fork yang lebih besar, berwarna emas manakala di hadapan, bahagian breknya diubah suai dengan tetapan cakera berkembar lebih besar bersama angkup empat piston. Enjin masih kelihatan sama, yang bermakna adalah unit satu silinder 149 cc yang mampu menghasilkan 15.5 hp dan 13 Nm tork.