Sebelum ini, Menteri Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengesahkan kerajaan tidak ada sebarang keputusan untuk membuat pelaburan dalam projek kereta nasional ketiga. Ia disebabkan projek terbabit memerlukan perbelanjaan kewangan yang besar dan disebabkan itu memerlukan penglibatan pelaburan swasta.

Bagaimanapun, katanya kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menyalurkan peruntukan bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Perkara ini disahkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof yang berkata kerajaan akan menyalurkan sejumlah peruntukan untuk R&D bagi membangunkan prototaip projek kereta nasional ketiga.

Menurut laporan Berita Harian, peruntukan itu akan menggunakan geran R&D kerajaan yang sudah diluluskan dan akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah geran R&D untuk prototaip projek kereta nasional ketiga.

“Biar Perdana Menteri umumkan mengenai dana geran ini, ia (jumlahnya) agak besar dan cukup untuk menjadi pemangkin bagi menarik penyertaan swasta dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang kami akan tubuhkan bagi meraih modal permulaan untuk merangsang (perkembangan) projek kereta nasional ketiga ini,” katanya.

Mohd Redzuan turut berkata sektor swasta menunjukkan minat yang memberangsangkan terhadap projek kereta nasional baharu itu dan mahukan industri automotif tempatan untuk berkembang lebih pesat.

“Anda dapat menilai pembabitan sektor swasta yang mahu turut serta dalam projek kereta nasional ketiga ini,” katanya.