Divisi model-model custom dari Mclaren iaitu McLaren Special Operations (MSO) telah menghasilkan satu lagi model binaan khas untuk pelanggannya – kali ini bagi mengingati ulang tahun ke-30 kejayaan pertama pelumba F1 lagenda Ayrton Senna dinobatkan sebagai juara dunia. Kereta yang digunakan untuk asas projek ini adalah McLaren P1 GTR, diberikan livery perlumbaan ‘Marlboro’ seiras kereta F1 yang dipandu Senna pada musim 1988.

Sedikit fakta sejarah, Ayrton Senna da Silva merupakan juara dunia tiga kali Formula 1, kesemuanya ketika memandu untuk pasukan Marlboro McLaren Honda. Gelaran dunia yang pertama diraih oleh pelumba lagenda ini adalah pada tahun 1988, dengan memandu jentera Mclaren Honda MP4/4. Kereta tersebut direka oleh Gordon Murray (orang yang sama menghasilkan supercar produksi McLaren F1), dan dijana oleh enjin Honda RA168-E V6 1.5 liter turbo, menghasilkan sekitar 600 hp dengan boost 2.5 bar (pernah menghasilkan sekitar 800 hp dengan boost 4 bar pada tahun 1987!).

Livery merah-putih Marlboro sahaja sinonim dengan Senna, malah ia juga sebati dengan pasukan F1 McLaren pada era berkenaan di mana jenama tembakau tersebut menjadi penaja utama pasukan yang berpangkalan di Woking, UK itu selama 20 tahun.

Kereta ini dibina untuk seorang pengumpul McLaren, yang juga seorang peminat Ayrton Senna sejak dari zaman mudanya. Beliau mahukan sebuah kereta untuk memperingati Senna serta prinsip pelumba Brazil berkenaan yang sentiasa mahukan kesempurnaan. Pemilik kereta ini sendiri bekerjasama dengan MSO dalam projek berkenaan selama tiga tahun bagi mendapatkan hasil seperti ini.

Pemilik P1 GTR tersebut juga menamakan kereta ini sebagai ‘Beco’, iaitu nama timangan Ayrton Senna oleh kedua ibu bapanya. Nama berkenaan bukan sekadar diberi, malah pemilik terlebih dahulu meminta izin dari ahli keluarga Senna sendiri untuk menggunakan nama itu.

Beco menerima dua warna asas pada badannya iaitu McLaren Rocket Red dan juga Anniversary White. Logo-logo trademark Senna diberikan pada bahagian-bahagian seperti splitter udara hadapan, liang udara dan juga pada kedua-dua pintu. Slogan ‘Driven to Perfection’ turut diberikan pada bahagian sama kecuali splitter hadapan.

Juga pada pintu, Beco diberikan bendera Brazil dan juga kod bar yang menggantikan perkataan Marlboro seperti livery pada pusingan-pusingan perlumbaan F1 yang mengharamkan sebarang iklan produk tembakau. Kereta ini diberikan nombor ’12’ pada bahagian hidung dan sayap belakang, sama seperti nombor perlumbaan Ayrton Senna pada musim F1 1988.

MSO juga menghasilkan logo laurel ulangtahun ke-30 pada kedua-dua belah cermin tingkap belakang, bersama pelekat-pelekat jenama rakan teknikal McLaren dahulu dan sekarang. Menurut McLaren, kerja selama 800 jam digunakan hanya menghasilkan cat dan grafik pada badan kereta ini.

Beralih ke prestasi, MSO telah memadankan pelindung haba yang diperbuat dari emas 24 karat pada ruang enjin kereta ini. Ia juga menerima pelindung belakang Lexan dan juga bahagian keliling ruang enjin yang telah diubahsuai. Menurut pemilik, rombakan yang dibuat tersebut dengan gabungan motor elektrik hibrid pada McLaren P1 GTR menghasilkan ‘peningkatan kuasa yang sesuai’.

Menurut McLaren, mereka turut melakukan pengubahsuaian terhadap komponen dalaman enjin petrol kereta tersebut bagi meningkatkan prestasinya. Namun angka kuasa baharu untuk Beco ini tidak dinyatakan. Untuk rekod, McLaren P1 GTR standard yang dijana enjin petrol V8 3.8 liter dengan dua pengecas turbo dan bantuan motor elektrik berupaya menghasilkan kuasa mencecah 1,000 PS.

Dengan kuasa yang lebih tinggi, Beco diberikan kit aerodinamik yang lebih berkesan. Untuk itu, ia menerima dive plane baharu hadapan bersama splitter yang lebih lebar, panel barge sisi untuk aliran udara sisi lebih baik, Gurney flap pada bahagian belakang serta sayap belakang yang bukan sahaja lebih besar, malah direka dengan bentuk seakan pada jentera F1 MP4/4. Kit baharu ini membolehkan tekanan downforce pada kereta ini diberikan pada tahap sekitar 800 kg.

Sebaik pintu kereta ini dibuka, anda akan dapat melihat petikan kata-kata Ayrton Senna bersama tandatangannya pada panel casis karbon bahagian sisi. Pada bahagian kabin pula, ia diberikan tempat duduk perlumbaan yang sangat ringan diambil dari McLaren Senna. Selain itu, roda stereng diberikan balutan Alcantara dengan jahitan seiras pada roda stereng McLaren MP4/4 yang dipandu Senna.

Jalur merah diberikan sepanjang panel pintu dan juga papan pemuka, manakala logo-logo Senna ditempatkan pada tempat yang sama serta pada roda stereng. McLaren turut menghasilkan topi keledar khas dengan rekaan livery sama pada kereta untuk pemilik P1 GTR ini.

Selain dari Beco, MSO turut telah menghasilkan kereta-kereta custom lain dengan tema yang menyentuh jiwa seperti P1 GTR sempena ulang tahun gelaran juara dunia F1 ke-40 pemandu lagenda Britsh, James Hunt dan juga McLaren 675LT dengan livery perlumbaan Gulf McLaren F1 GTR pada perlumbaan Le Mans untuk Tunku Temenggong Johor (TTJ), Tunku Idris Iskandar Ismail ibni Sultan Ibrahim Ismail.