Akhirnya, harga bahan api kembali semula diapungkan dan menyaksikan penurunan bagi minggu pertama tahun ini, dari 5 hingga 11 Januari, bermula tengah malam ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, harga petrol RON95 akan diturunkan sebanyak 27 sen daripada RM2.20 seliter kepada RM1.93 seliter. Manakala petrol RON97 juga turun 27 sen daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter.

Untuk diesel pula, gred Euro 2M akan dijual pada harga RM2.04 seliter, turun 14 sen dari RM2.18 seliter. Euro 5 yang selalunya akan dijual 10 sen lebih mahal juga akan turun menjadi 2.14 seliter dari RM2.28 seliter. Kesemua harga ini berkuat kuasa selama seminggu iaitu mulai 5 Januari 2019 sehingga 11 Januari 2019.