Sejak hak pengedaran motosikal Aprilia untuk pasaran Malaysia bertukar tangan dari Naza Premira kepada Didi Resources pada Julai 2018, Apilia Shiver 900 2019 menjadi model pertama jenama Itali itu yang diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan.

Menggunakan enjin V-Twin 900, motosikal naked ini menjana sebanyak 95.2 hp pada 8,750 rpm dan 90 Nm pada 6,500 rpm. Ia merupakan enjin sejukan cecair, DOHC dengan lapan injap dan suapan minyak melalui sistem EFI serta ciri ride-by-wire, Shiver dilengkapi kotak gear enam-kelajuan, dengan klac hidraulik yang kini 15% lebih ringan dikenalikan.

Fork depan menggunakan unit dari Kayaba dengan diameter 41 mm, boleh dilaraskan tetapan tahap bebanan serta mempunyai 130 mm jarak pergerakan. Bahagian belakang pula menggunakan suspensi monoshock boleh laras, juga dengan 130 mm jarak pergerakannnya.

Sistem brek pula terdiri daripada penggunaan cakera 320 mm, dengan kaliper radial-mount empat-piston. Di belakang, cakera tunggal 240 mmm dengan kaliper piston-tunggal menggalas tanggungjawab sama – motosikal ini juga datang dengan ciri ABS dua saluran.

Aprilia Shiver 900 ini mempunyai kapasiti minyak 15 liter, dan berat basahnya ialah 218 kg. Ketinggian tempat duduk ialah 810 mm. Roda pula menggunakan rim 17-inci – tayar depan bersaiz 120/70 manakala belakang dengan 180/55.

Kelengkapan lain yang datang sebagai ciri standard pada Shiver 900 ini adalah seperti kawalan cengkaman yang dibangunkan oleh Aprilia sendiri bagi jentera RSV4 dalam World Superbike Championship – mempunyai tiga tahap dan boleh dinyah-aktif. Ada juga tiga mod tunggangan yang boleh dipilih – Sport, Touring dan Rain. Sport paling agresif manakala Rain pula akan melibatkan mengurangan kuasa kepada 70 hp.

Mod tunggangan ini boleh diubah ketika bergerak. Semua paparan yang diperlukan akan dipapar pada skrin TFT-LCD 4.3-inci dengan pancaran cahaya adaptif mengikut kecerahan persekitaran. Motosikal ini juga datang dengan Aprilia MIA System, yang membolehkan sambungan telefon pintar penunggang ke skrin yang ada untuk data tunjuk arah dan kawalan muzik.

Hanya dua warna ditawarkan pada Aprilia Shiver 900 2019 ini; Challenging Red dan Innovation Dark. Banyak pilihan aksesori lain turut ditawarkan, seperti pelana yang lebih selesa serta beg atau ruang simpanan untuk kegunaan touring. Jentera ini kini boleh didekati di bilik pameran Aprilia bertempat di The Gasket Alley.