Diperingkat global, bagaimana prestasi jualan kenderaan jenama-jenama utama automotif sepanjang tahun 2018? Jenama mana yang paling banyak menjual kenderaan? Menurut satu laporan Reuters, Volkswagen Group mengekalkan kedudukan pertama sebagai pengeluar yang menjual paling banyak kenderaan bagi lima tahun berturut-turut.

Sementara itu, pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi pula mengikut rapat dan memberi saingan sengit bagi jualan kenderaan penumpang dan perdagangan (LCV), tidak termasuk trak tugasan berat (jenis kenderaan ini tidak dijual oleh jenama-jenama berkenaan). Pakatan ini keseluruhannya menjual sebanyak 10.76 juta kenderaan penumpang dan LCV tahun lalu, menurut kiraan Reuters.

Dari jumlah besar ini, Nissan berhasil menjual 5.65 juta kenderaan pada 2018 (menurun 2.8% dari tahun sebelumnya), Mitsubsihi pula menjual 1.22 juta unit (naik 18%) sementara Renault pula menjual 3.88 juta (naik 3.2%).

Jika hanya berdasarkan jumlah jualan kenderaan penumpang dan LCV sahaja, pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi telah berhasil mengatasi jualan oleh Volkswagen Group, yang hanya mencatatkan 10.6 juta unit. Namun, selepas menambah jualan dari pengeluar trak Jerman yang bernaung di bawah VW Group, MAN dan Scania, jumlah keseluruhan yang dicatatkan ialah 10.83 juta, naik 0.9%.

Turut mengekalkan kedudukan tiga teratas ialah Toyota dengan jualan 10.59 unit. Bagi jumlah keseluruhan jenama ini termasuk Lexus, ia turut mengambil kira kenderaan kompak oleh Daihatsu, serta trak ringan dan berat keluaran Hino. Tidak termasuk jualan Hino, kumpulan ini berhasil menjual 10.39 juta unit kenderaan dan LCV. Sasaran untuk tahun 2019 pula ialah 10.76 juta kenderaan.

Menurut Reuters, pengeluar kenderaan berusaha keras untuk meningkatkan jualan bagi mencapai skala ekonomi yang lebih luas dan menurunkan kos, walaupun tetap berdepat dengan keperluan pelaburan baru untuk pembangunan teknologi generasi akan datang.

Paling ketara adalah seperti yang dapat dilihat pada pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, yang sedang mempertimbangkan untuk berkongsi alatan kenderaan dan menyatukan penggunaa platform bagi mengurangkan kos R&D dan pengilangan, dan dalam masa yang sama meningkatkan keuntungan. Bagaimanapun, usaha sama tiga pihak ini sedang berkocak, dengan bekas pengerusinya, Carlos Ghosn berdepan dengan dakwaan salah laku dan berdepan perbicaraan.