Volvo seperti diketahui kini mempunyai sistem plug-in hibrid penuh yang digelar Twin Engine (T5, T6 dan T8). Pada sesi pengenalan SUV XC90 versi facelift, jenama Sweden tersebut turut mengumumkan mereka akan memperkenalkan sistem hibrid ringkas berberapa bulan akan datang.

Sistem ini hadir dengan lencana ‘B’ seperti B4, B5 dan B6, dan ia akan digandingkan sama ada pada enjin petrol atau enjin diesel. Menurut Volvo, sistem hibrid ringkas mereka ini akan dikuasakan oleh bateri yang menerima suapan dari sistem advanced kinetic energy recovery braking.

Ia akan beroperasi bersama sistem brake-by-wire terbaharu, membolehkan tenaga dapat dicas semula semasa membrek, dan ini membolehkan penggunaan bahan api dijimatkan dan pencemaran direndahkan pada kadar 15% pada pemanduan dunia sebenar.

Unit janakuasa ini akan mula diperkenalkan pada XC90 facelift, yang akan diperkenalkan dalam versi B5, dijana dengan pilihan enjin petrol dan diesel, manakala XC90 B6 menerima sistem hibrid ringkas digabungkan dengan enjin petrol sahaja. XC60 juga akan ditawarkan unit janakuasa B5 dan B6, serta bonus pilihan lebih kecil iaitu B4.

Menurut Volvo, untuk versi B5 ia hadir sama ada dengan pacuan hadapan atau pacuan semua roda. Buat masa sekarang, hanya spesifikasi teknikal untuk versi diesel B5 sahaja didedahkan, iaitu enjin diesel 2.0 liter empat silinder dengan pengecas turbo berkembar, berupaya menghasilkan 235 PS pada takat 4,000 rpm, serta tork maksima 480 Nm bermula 1,750 hingga 2,250 rpm.

Enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear AWF8G55 lapan-kelajuan automatik, membolehkan XC90 B5 memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 7.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 220 km/j. Motor elektrik pada sistem hibrid ringkas ini membekalkan kuasa 14 PS dan tork maksima 40 Nm ketika diperlukan.

Volvo mula membangunkan kinetic energy recovery system (KERS) versi mereka ini sejak 2011. Sistem rekaan Volvo ini berbeza dengan sistem hibrid ringkas lain yang menggunakan unit starter-generator yang digerakkan oleh aci engkol menggunakan tali sawat. Sistem hibrid ringkas binaan Volvo ini mengecas semula kuasa elektrik menggunakan regenerative braking, seperti pada sistem hibrid penuh.

Pada versi-versi prototaip sebelum ini, sistem KERS Volvo diletakkan pada gandar belakang, menggunakan roda tenaga gentian karbon. Semasa membrek, kuasa akan dipindahkan menerusi sistem pemulihan brake-by-wire kepada roda tenaga tersebut, yang akan berputar sendiri sehingga 60,000 rpm. Apabila kereta mula memecut kembali, putaran roda tenaga berkenaan akan memacu roda belakang menerusi sistem transmisi CVT istimewa, memberikan kuasa tambahan sehingga 80 hp.

Selain dari sistem baharu ini, Volvo turut mengumumkan bahawa sistem T6 dan T8 Twin Engine sedia ada turut akan meneriman sistem pemulihan tenaga brake-by-wire yang sama serta bateri baharu, membolehkan sistem hibrid plug-in (PHEV) berkenaan mendapatkan jarak perjalanan menggunakan elektrik sepenuhnya 15% lebih jauh.

Dalam masa yang sama, Volvo juga mengesahkan bahawa kesemua model bakal menerima pilihan sistem PHEV pada masa terdekat. Ini bermaksud, sistem PHEV bukan hanya akan ditawarkan pada model-model besar diasaskan dari platform Scalable Product Architecture (SPA), malah model lebih kecil dari platform Compact Modular Architecture (CMA) seperti XC40 juga menerima pilihan penuh.

Buat masa sekarang, hanya Volvo XC40 T5 Twin Engine menerima sistem ini. Selepas ini SUV kompak berkenaan turut akan hadir dalam versi T4 Twin Engine dengan enjin yang lebih kecil, lengkap dengan sistem hibrid plug-in.