Kita semakin hampir kepada pelancaran Audi Q2 dengan petanda terbaru ini; semakan di laman web Audi Malaysia mendedahkan yang Q2 Sport 1.4 TFSI akan dijual pada harga RM219,900. Ketika membuat penampilan sulungnya di Malaysia tahun lalu, khabar ketika itu menyatakan harganya adalah sekitar RM230k.

Tempahannya turut mula dibuka ketika penampilan sulungnya tempohari. Q2 yang bersaing antaranya dengan BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA dilengkapi enjin 1.4 liter TFSI (turbocaj) yang menghasilkan 150 hp pada 5,000 hingga 6,000 rpm dan 250 Nm tork dari 1,500 rpm hingga 3,500 rpm. Ini enjin yang sama digunakan pada Volkswagen Tiguan, dan dipadankan dengan kotak gear S tronic klac berkembar tujuh-kelajuan.

Kelainan enjin ini ialah, pada model Audi ini, ia hadir dengan ciri COD (cylinder on demand) yang akan merehatkan dua silinder ketika kenderaan bergerak dalam kelajuan enjin antara 1,400 hingga 3,200 rpm. Ini membantu menjimatkan bahan api; penggunaan minyaknya ialah 5.3 liter bagi setiap 100 km, atau 18.9 km/l. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.5 saat dan laju maksimum SUV kecil seberat 1,290 kg ini ialah 212 km/j.

Aspek luarannya dilengkapi dengan lampu utama LED dengan DRL LED, lampu belakang gabungan LED dengan lampu isyarat dinamik, cermin sisi boleh laras dengan fungsi pemanas dan bantuan parkir dengan kamera undur. Ia menggunakan rim 17-inci aloi, dengan saiz tayar 215/55.

Ruang dalam SUV yang diimport sepenuhnya ini menerima stereng multi-fungsi tiga jejari balutan kulit, kerusi balutan kulit campuran, kawalan suhu automatik, kerusi belakang boleh lipat serta kemasan dalaman warna merah. Pakej lampu kabin turut dinyatakan, memberikan kelebihan pencahayaan suasana ruang tersebut.

Lain-lain ciri termasuk Audi Drive Select, brek parkir elektro-mekanikal, sistem tanpa kunci dengan butang Push/Start serta kawalan cruise. Turut tersedia ialah MMI Navigation Plus, virtual cockpit Audi serta sistem audio Audi 180-watt dengan 10 pembesar suara dan amplifier enam-saluran.

Ciri-ciri keselamatan standard antaranya termasuk enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, pemantau tekanan tayar, Hill Hold Assist dan Isofix. Setiap pembelian Audi Q2 datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan. Model ini dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi. Jadi, ikuti perkembangannya bersama kami.

Audi Q2 di paultan.org PACE tahun lalu: