BMW 3 Series G20 baharu telah pun dilancarkan di Thailand menjelang Bangkok Motor Show yang berlangsung bulan hadapan. Menurut Bangkok Post, sedan sport generasi ketujuh ini tiba di Negara Gajah Putih ini sebagai model import CBU dan ditawarkan dengan varian 320d Sport dan 330i M Sport.

Harganya juga telah didedahkan, bermula 2,959,000 baht (RM383,000) untuk 320d diesel, dan unit petrol pula mencecah 3,329,000 baht (RM434,800) untuk 330i.

Kuasa bagi 330i didatangkan dengan enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu memberikan kuasa sehingga 258 hp dan tork 400 Nm. Sementara bagi versi diesel pula mampu menghasilkan 190 hp dan tork 400 Nm. Kedua-dua model dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

Varian Sport Line bagi 320d menerima rekaan bampar berbentuk-T dengan kemasan hitam berkilat, yang turut menerima sentuhan yang sama pada bahagian tingkap. Ia turut ditampilkan dengan lampu utama dan lampu kabus LED, roda aloi dua-tona 18-inci, kemasukan tanpa kunci, tempat duduk sport berkuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu, kulit Vernasca, kawalan suhu auto tiga-zon, kemasan aluminium dan sistem navigasi BMW Live Cockpit Plus dengan paparan 8.8-inci.

Sementara, 330i pula tampil dengan kemasan M Sport, dengan corong udara hadapan yang lebih besar dan diffuser belakang yang lebih menonjol. Juga ditampilkan dengan lampu utama LED adaptif, aloi jejari-berkembar, suspensi dan brek M Sport, stereng sport boleh laras, sistem BMW Live Cockpit Professional dengan paparan 10.25-inci, kluster instrumen digital-sepenuhnya 12.3-inci, sistem bunyi Harmon Kardon dengan 16-pembesar suara dan bootlid berkuasa.

Selain 3 Series G20 ini, BMW Thai turut melancarkan model Z4 G29 baharu, dengan roadster ditawarkan pada harga 3,999,000 baht (RM518,300) untuk varian sDrive30i M Sport dan 4,999,000 baht bagi model tertinggi M40i. sDrive30i menerima enjin yang sama dengan 330i, manakala M40i pula dipadankan dengan unit 3.0 liter turbo enam-silinder dengan hamburan kuasa 340 hp dan tork 500 Nm. Kedua-dua model turut hadir dengan kotak gear auto.

Kit standard termasuklah pakej luaran M Sport, lampu utama LED adaptif, aloi jejari-berkembar 19-inci, kemasukan tanpa kunci, tempat duduk berkuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu, kulit Vernasca, kawalan suhu dwi-zon, Variable Sport Steering dan sistem BMW Live Cockpit Professional.

M40i menerima suspensi M Sport adaptif, brek M Sport, dan M Sport locking rear differential, pemuka kulit tiruan Sensatec, tali pinggang keledar M Sport dan sistem bunyi Harman Kardon.

GALERI: BMW 330i M Sport G20 di Singapore Motor Show

GALERI: BMW Z4 G29