Ini satu lagi model yang ditunjukkan lebih awal sebelum ke Geneva. Terbaru, Mercedes-Benz mendedahkan model GLC X253 facelift. Ia masih mengekalkan garis rekabentuk yang sama seperti sebelumnya, dengan pembaharuan diberikan pada wajah depannya.

Bahagian depan menampilkan lampu utama dalam bentuk trapezoidal yang lebih kurus, selari dengan bentuk gril yang dijuga diberi rekaan baru. Ini memberikan wajah baru GLC yang mempunyai iras dengan model lebih besar, GLE.

Lampu berkenaan menampilkan teknologi LED sebagai standard, dengan teknologi Multibeam sebagai pilihan. Dengan ciri ini, jalur DRL berada dalam kedudukan selari dengan bahagian atas dan bawah unit lampu utamanya. Selain itu bampar juga menerima sentuhan rekaan baru – dengan pelindung bampar serta tiga lubang besar di tengah.

Lebih banya perubahan ada di belakang; lampunya kini dengan rekaan grafik bentuk gelung yang juga dilihat pada GLE. Bampar juga diberikan rekaan baru, dengan tambahan skid plate krom dan hujung ekzos bersepadu. Pilihan rim pula terdiri daripada empat pilihan, bersaiz antara 17 hingga 19-inci. Turut perkenalkan ialah warna luaran baru, Graphite Grey, dengan pakej AMG Line dengan “diamond grille” untuk menyerlahkan imej bahagian depan.

Bahagian dalaman pula sebahagian besarnya kekal tidak diusik, melainkan kemasan kayu yang digunakan, serta butang penghidup dengan corak “turbin”. Sistem infotainmen bagaimanapun dinaiktaraf sepenuhnya; GLC ini lengkap dengan Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Ini termasuk kawalan suara yang boleh diaktifkan dengan menyebut “Hey Mercedes”.

Selain itu, sistem ini juga boleh dikendalikan melalui touchpad atau skrin sentuh tujuh atau 10.25-inci. Isyarat tangan juga boleh membezakan antara input dari pemandu atau penumpang. Fungsi Augmented Video untuk tunjuk arah turut ada sebagai pilihan.

Sama seperti C-Class, GLC turut menerima dua stereng rekaan baru (normal atau AMG Line dengan bahagian bawah yang rata), kedua-duanya hadir dengan touchpad untuk mengawalpaparan instrumen digital 12.3-inci. Lagi ciri baru termasuk sistem Energizer yang menggunakan pencahayaan kabin, muzik dan kawalan pendingin hawa untuk membuatkan pemandu sentiasa peka ketika perjalanan jauh.

Barisan enjin yang ditawarkan pula semuanya baru, bermula dengan unit petrol M264 turbocaj pada GLC 200 dan GLC 300. Ia menggunakan enjin 2.0L dengan janaan 197 hp dan 280 Nm tork, dan masih mengekalkan sistem mild hybrid EQ Boost 48-volt. Ciri ini menyediakan 10 kW (14 hp) dan 150 Nm lonjakan (boost) ketika memecut.

Untuk lebih kuasa, unit pada GLC 300 menyalurkan 258 hp dan 370 Nm dari enjin yang sama. Model ini juga dilengkapi sistem EQ Boost, ciri yang tidak ditawarkan misalnya pada model C 300 terbaru. Seterusnya, enjin 2.0 liter OM654 yang menggantikan unit 2.2 liter OM651 – datang dengan 163 hp/360 Nm GLC 200 d, 194 hp/400 Nm GLC 220 d dan 245 hp/500 Nm GLC 300 d.

Ini digandingkan dnegan transmisi 9G-tronic sembilan-kelajuan automatik dan sistem pacuan 4Matic (kedua-duanya standard bagi model diesel). Tetapi, untuk pertama kali, sistem penyerap hentak Body Control turut diperkenalkan.

Selebihnya, GLC baru ini akan datang dengan pakej keselamatan lengkap Driving Assistance Package. Ia terdiri antaranya daripada ciri-ciri seperti kawalan cruise aktif Distronic, Active Steer Assist dengan Active Emergency Stop Assist, Active Lane Change Assist, Active Speed Limit Assist, Evasive Steering Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Blind Spot Assist dan Active Brake Assist dengan fungsi pengesan lintasan trafik.