Dipertontonkan di Malaysia pertama kali ketika acara Premium Auto Car Expo (PACE) paultan.org tahun lalu, Audi Q5 generasi kedua kini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan RM339,900 atas jalan tanpa insurans. Hanya satu varian ditawarkan, Q5 Sport 2.0 TFSI quattro.

Hadir dengan kemasan Sport, Q5 baru ini antaranya dilengkapi dengan rim aloi 19-inci lima jejari, lampu utama LED dengan DRL LED, lampu belakang gabungan LED dengan lampu isyarat dinamik serta cermin pandang belakang dan cermin sisi anti-silau.

Di dalam, tempat duduk untuk trim Sport tersedia untuk penumpang, dengan kawalan elektrik serta sokongan lambar empat-arah (fungsi memori hanya untuk sebelah pemandu). Balutan kulit juga standard, dengan perincian Aluminium Rhombus.

Lain-lain kelengkapan termasuk sistem kawalan pendingin hawa tiga zon, stereng multifungsi balutan kulit, MMI Navigation Plus, Audi Connect, antaramuka telefon pintar Audi, sistem audio Audi (10 pembesar suara, amplifier enam saluran, 180 watt), virtual cockpit Audi, pakej Ambient Light dan sistem tanpa kunci.

Bagi aspek keselamatan pula, Q5 baru ini dilengkapi dengan enam beg-udara, kawalan kestabilan ESC, Hold Assist, pemantau tekanan tayar dan Isofix di tempat duduk belakang; sistem Audi Pre Sense bagaimanapun tidak ditawarkan.

Enjin pula ia menggunakan unit 2.0 liter turbocaj empat-silinder petrol yang menghasilkan 252 hp dari 5,000-6,000 rpm dan 370 Nm tork dari 1,600-4,500 rpm yang disalurkan ke semua roda melalui transmisi S tronic tujuh-kelajuan klac berkembar serta sistem pacuan semua roda quattro dengan teknologi Ultra.

Ini termasuk decoupler bagi gandar belakang yang akan membolehkan Q5 menggunakan hanya pacuan roda depan untuk lebih cekap tenaga. Dengan tetapan ini, pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.3 saat, manakala kelajuan maksimum 237 km/j.

Gabungan penggunaan minyak didakwa mampu mencapai 7.4 liter bagi 100 km, atau 13.5 km bagi seliter. Turut melengkapinya ialah suspensi pasif dengan kawalan serapan hentakan dan kendalian stereng progresif yang disambungkan pada antaramuka Audi Drive Select, serta dengan sistem janaan.

Harga yang dinyatakan adalah termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan; peningkatan daripada tawaran sebelum ini, dengan hanya jaminan empat-tahun/120,000 km. Pilihan warna pula terdiri daripada senarai berikut; hitam metalik Mythos, kelabu metalik Manhattan, hijau metalik Azores, coklat metalik Java, kelabu metalik Quantum, merah metalik Matador, perak metalik Floret dan putih mutiara Daytona.