Geely Jiaji dilancarkan untuk pasaran China – MPV, enjin 1.5L dan 1.8L T-GDi, varian mild hybrid dan PHEV

Geely Jiaji dilancarkan untuk pasaran China – MPV, enjin 1.5L dan 1.8L T-GDi, varian mild hybrid dan PHEV

Selepas beberapa ketika khabar angin mengenai pengenalannya menjadi buah mulut, model MPV pertama oleh pengeluar kenderaan China, Geely Jiaji kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran di sana. Ada tiga versi sistem janaan ditawarkan; enjin petrol, mild hybrid dan plug-in hybrid, dan dijual dari harga 99,800 yuan (RM60,800) hingga 182,800 yuan (RM111,400).

Jiaji mempunyai dimensi saiz yang besar, dengan 4,706 mm panjang, 1,909 mm lebar and 1,690 mm (1,713 mm untuk versi PHEV) tinggi, dengan jarak antara roda 2,805 mm. Walaupun begitu, ia sedikit lebih pendek jika dibandingkan dengan Toyota Alphard (4,945 mm) dan Kia Grand Carnival (5,115 mm) – kedua-dua model ini hadir dengan jarak antara roda sekitar tiga meter.

Menurut Geely, MPV Jiaji ini menggabungkan elemen dari rekaan sedan, kuasa dari SUV dan ruang sebuah MPV. Dari segi rekaan, ia menampilkan sentuhan semasa yang ditampilkan pada kenderaan keluaran Geely – gril lebar, lengkuk tayar yang lebih menonjol, garisan tingkap yang dinamik serta kesan bumbung terapung dengan bahagian tiang D yang digelapkan. Ia menggunakan rim 18-inci dengan jarak kelegaan tanah 165 mm.

Geely Jiaji dilancarkan untuk pasaran China – MPV, enjin 1.5L dan 1.8L T-GDi, varian mild hybrid dan PHEV

Di dalam, rekaan yang ditampilkan lebih moden. Papan pemuka yang lebar dan konsol tengah yang seolah-olah terapung memberikan rasa ruang yang lebih luas. Skrin 12.3-inci untuk infotainmen terletak bersendirian di tengah, dengan sistem operasi Geely Smart Ecosystem (GKUI) – kini dengan mod “kanak-kanak”.

MPV ini ditawarkan dengan konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk (2+2+2, 2+2+3 atau 2+3+2) – kerusi kapten bagi dua konfigurasi terawal itu boleh direbahkan sehingga 165 darjah dan dilengkapi perehat kepala khusus. Ciri lain termasuk bumbung panoramik luas, penebat bunyi aktif serta sistem pembersih udara AQS seperti pada SUV Boyue atau Proton X70.

Pilihan enjin ada dua; 1.8 liter turbocaj empat-silinder petrol dengan janaan 181 hp dan 300 Nm yang digandingkan dengan transmisi enam-kelajuan automatik. Satu lagi ialah enjin 1.5 liter turbo yang dibangunkan bersama Volvo, menjana 174 hp dan 255 Nm dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik klac-berkembar (DCT) tujuh-kelajuan.

Model dengan DCT juga turut ditawarkan dengan sistem mild hybrid 48-volt yang memberikan output 188 hp dan 300 Nm serta kadar penggunaan minyak 5.9 liter bagi setiap 100 km dalam gabungan situasi pemanduan.

Versi PHEV pula menggunakan enjin 1.5 liter dengan motor elektrik dengan output keseluruhan sistem 255 hp dan 385 Nm. Purata penggunaan minyak ialah 1.6 liter bagi setiap 100 km, dengan keupayaan 56 km jarak pacuan elektrik sepenuhnya dan boleh dicaj semula dalam masa 90 minit melalui stesen caj pantas.

Aspek keselamatan, Geely Jiaji ditawarkan dengan ciri pemanduan autonomous Tahap 2 dengan ciri-ciri seperti Intelligent Cruise Control (ICC), Lane Keep Assistant (LKA), Automated Park Assist (APA), Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengesan pejalan kaki, Lane Change Assistant (LCA), Blind Spot Detection (BSD), Speed Limit Identification (SLIF), Rear Collision Warning (RCW) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

Jiaji dijangka tiba di Malaysia pada 2020 nanti sebagai sebahagian daripada perjanjian perlesanan antara Geely dan Proton, yang antara lain telah berhasil memperkenalkan SUV X70 dan juga akan datang, SUV segmen B, Binyue. Betul model ini akan jadi pengganti Proton Exora nanti?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

 

Add a comment

required

required